Aidiladha: Tiada sekatan perjalanan, boleh balik kampung - Ismail
Orang ramai boleh pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha susulan tiada sekatan perjalanan termasuk rentas negeri, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau, bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengawal penularan Covid-19.
"Patuhi SOP walaupun kerajaan benar balik kampung, kita kena jaga kita.
"Kita kena pastikan diri kita terjaga dengan mematuhi setiap SOP dikeluarkan," katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan parlimen di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada rentas negeri tidak akan dibenarkan susulan terdapat persediaan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, yang mendirikan khemah di beberapa lebuh raya pada masa ini.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan hari ini memutuskan untuk menyemak semula SOP Hari Raya Aidiladha dan Ibadah Korban setelah mengambil kira risiko penularan semula jangkitan Covid-19.
Katanya bagi ibadah korban, kerajaan memutuskan untuk mengehadkan tidak lebih 10 ekor haiwan bagi masjid dan surau termasuk di lokasi mengadakan ibadah korban yang dibenarkan oleh Pejabat Agama Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau berkata had itu juga tertakluk kepada keluasan lokasi mengadakan ibadah korban.
“Bagaimanapun, kerajaan menggalakkan agar ibadah korban dilakukan di rumah penyembelihan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan rumah penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan.
“Jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut 20 orang untuk setiap ekor haiwan dan jamuan makan di tapak korban adalah tidak dibenarkan kecuali makanan dibungkus,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata waktu ibadah korban di masjid dan surau hanya boleh diadakan selama empat hari termasuk hari pertama Hari Raya Aidiladha, selepas solat Sunat Aidiladha dan tiga hari Tasyrik (hari ke-11 (1 Ogos), 12 (2 Ogos) dan 13 (3 Ogos) bulan Zulhijjah mengikut kalendar Islam).
“Bagaimanapun, mengambil kira Hari Raya Aidiladha jatuh pada hari Jumaat, ibadah korban digalakkan untuk dilakukan pada hari kedua (Aidiladha) dan dua hari Tasyrik,” katanya.
Sementara itu, bagi jamuan di rumah pula, Ismail Sabri berkata ia tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa.
Katanya individu yang masih dalam proses kuarantin wajib di rumah dilarang untuk keluar dari rumah, pulang ke kampung atau menunaikan solat sunat Aidiladha, malah tidak boleh menerima tetamu.
“Jika individu yang memakai ‘wristband’ kuarantin melanggar peraturan yang ditetapkan, orang ramai diminta untuk melaporkan kepada PDRM,” katanya.
Menurutnya, semua SOP tersebut adalah untuk Wilayah Persekutuan dan boleh diguna pakai oleh Majlis Agama Negeri-Negeri sebagai rujukan.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai