Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peguam Arul Kanda bangkit peranan pegawai Najib dalam mesyuarat laporan audit

KES PINDA AUDIT 1MDB | Bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa disoal tentang mengapa ketua setiausaha sulit kanan Najib Razak ketika itu, Shukry Mohd Salleh terlibat dalam mesyuarat berkaitan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) terhadap 1MDB, walaupun dia bukanlah pihak yang membuat audit mahupun diaudit.

Ketika perbicaraan kes pinda audit 1MDB hari ini, Ali yang sepatutnya diperiksa balas peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah sebaliknya disoal N Sivananthan, peguam yang mewakili bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Najib tiba di mahkamah sejak pukul 9.10 pagi tadi tetapi perbicaraan hanya bermula sejam kemudian selepas Shafee tidak dapat hadir kerana tidak sihat. Sivananthan kemudian diminta melakukan pemeriksaan balas.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi kandungan laporan akhir sebelum dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat.

Sebelum ini, Sivananthan berkata Arul Kanda sanggup dipanggil sebagai saksi pendakwaan jika pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Pada 14 Januari lalu, pasukan pembelaan Arul Kanda memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak berhasrat untuk meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan untuk tidak menjejaskan peluangnya menjadi saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, ekoran ketidakhadiran Shafee hari ini, Sivananthan meneruskan pemeriksaan balas dengan soalan-soalan yang menyasarkan pegawai Najib.

"Saya ingin tunjukkan bahawa memanggilnya (sebagai saksi) adalah tindakan yang betul," katanya lagi.

Ketika prosiding, Sivananthan menyoal Ali berkenaan mengapa Shukri mempunyai suara dalam laporan audit 1MDB, terutama berkenaan pendedahan bahawa syarikat itu menghantar dua pernyataan kewangan yang berbeza.

Shukri hadir dalam mesyuarat bertarikh 24 Februari 2016 ketika perubahan dibuat terhadap laporan itu, serta dalam pertemuan-pertemuan awal.

Sivananthan: Mengapa Syukri beri komen tentang dua akaun di saat dia tiada kaitan dengan 1MDB?

Ali: Saya tak boleh ingat.

Sivananthan: Mengapa anda benarkan dia untuk beri komen walaupun dia tiada urusan apa-apa dengan audit?

Ali: Dia dari Pejabat Perdana Menteri.

Sivananthan: Hal itu secara automatik beri dia hak untuk komen? Apa kepentingan dia? Mengapa dia dibenarkan untuk komen?

Ali: Tiada jawapan.

Sivananthan: Anda benarkan dia bersuara, anda tidak halang dia.

Ali: Saya tak halang dia.

Sivananthan: Sebab dia dari Pejabat Perdana Menteri?

Ali: Ya.

Sivananthan memeriksa balas Ali berkenaan kehadiran Shukri ketika mesyuarat sehari sebelum mesyuarat 24 Februari.

Mesyuarat 24 Februari 2016 adalah mesyuarat penting kerana ketika itu didakwa keputusan dibuat untuk membuang bahagian tertentu dalam laporan audit 1MDB, seperti berkaitan dua pernyataan kewangan 1MDB yang bertentangan.

Ketika pemeriksaan balas oleh Sivananthan, Ali juga mengaku bahawa Arul Kanda bersungguh-sungguh mempertahankan kepentingan 1MDB ketika mesyuarat itu.

Sivananthan: Adakah betul jika saya katakan pada mesyuarat 24 Februari, Arul mempertahankan kepentingan 1MDB?

Ali: Dia pertahankan kepentingan 1MDB memandangkan dia bertanggungjawab terhadapnya pada masa itu.

Ali juga mengakui bahawa walau apa pun pandangan yang disuarakan Arul Kanda dan pihak lain ketika mesyuarat itu, keputusan akhir berkenaan sama ada untuk membuang bahagian tertentu dalam laporan audit terletak di tangan ketua audit pada masa itu, Ambrin Buang.

[Baca berita asal]