Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Afif: Sifat sombong boleh jatuhkan PN, ambil contoh dari PH, BN

WAWANCARA | Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata Perikatan Nasional (PN) perlu belajar dari kesilapan kerajaan terdahulu.

Katanya, sikap sombong Pakatan Harapan dan BN ketika mentadbir kerajaan telah menyebabkan mereka dihukum oleh rakyat.

Bekas timbalan ketua pemuda PKR (AMK) yang dipecat parti dan kini Adun Bersatu berkata ketika PH menjadi kerajaan PH, beliau mendakwa gabungan itu tidak mengutamakan hal rakyat, sebaliknya bertelingkah sesama sendiri mengenai isu kepimpinan beberapa individu.

“Kita lihat sebelum (PRU) 2018, arrogance (kesombongan) BN ketika itu mereka merasakan ‘oh tak apa kita buat corruption (rasuah), kita rompak duit rakyat.. (bekas perdana menteri) Najib (Razak) ambik duit rakyat, tak apa, rakyat tetap akan sokong kita’. Itu adalah keangkuhan.

“Dan apa berlaku? Rakyat menghukum, (BN) jatuh. Pakatan Harapan menjadi kerajaan, mandatnya adalah kerana mereka tidak mahu lagi keangkuhan BN berterusan,” katanya ketika wawancara oleh Malaysiakini di Mona by Jibril di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut bekas exco Pulau Pinang itu, dalam tempoh 22 bulan PH di tampuk kuasa, mereka menjadi sombong. 

Ini katanya, menyebabkan ahli parlimen dan kepimpinan dalam kalangan gabungan itu merasakan terdapat keperluan untuk melakukan perubahan politik.

Gambar fail, kabinet PH.

“Sombong maksud saya dalam bentuk kita tidak menyelesaikan isu besar iaitu pertembungan dua, tiga personaliti soal kepimpinan dan kita masih lagi bergaduh sesama sendiri.

“Rakyat di luar sana tak mahu melihat itu. Rakyat di luar sana mahu melihat PH menjadi kerajaan, tunaikan janji-janji.

“Jadi bila itu tidak berlaku, bila berlaku kesombongan seperti itu yang menyebabkan akhirnya di kalangan ahli parlimen, di kalangan kabinet, di kalangan kepimpinan merasakan perlu ada perubahan politik.

“Jadi saya percaya itu juga yang menjadi masalah kepada PH. Bergerak ke hadapan, kini sebagai PN, jika kami bersikap sombong, PN juga tidak akan mampu untuk bertahan,” katanya.

Untuk rekod, ketika PH menjadi kerajaan persekutuan, isu peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dari bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sering dibangkitkan oleh kepimpinan PH, terutamanya dari PKR.

Selepas tumbangnya PH susulan Langkah Sheraton, isu calon perdana menteri bagi gabungan itu masih menjadi tumpuan dan perdebatan.

Gambar fail, Langlah Sheraton.

Menurut Afif, sebilangan besar rakyat lebih-lebih lagi dari kalangan orang muda berasa sangat kecewa dengan situasi politik sedia ada terutamanya dengan Langkah Sheraton.

Katanya, beliau memahami reaksi tersebut kerana mereka telah keluar untuk mengundi pada PRU14.

Kata Afif, pengundi PH perlu menilai semula kedudukan dan keputusan yang diambil kerajaan.

“Maknanya pemerintah membuat keputusan, adakah keputusan itu membantu rakyat? Saya percaya majoritinya membantu rakyat, berbanding dengan negara-negara lain yang berhadapan dengan Covid-19,” katanya.

Langkah Sheraton tercetus apabila kem penyokong bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bertemu dengan ahli parlimen Umno dan PAS di sebuah hotel di Petaling Jaya pada malam 23 Februari.

Berikutan itu ia mencetuskan rantaian peristiwa yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan PH dan sekaligus perubahan pemerintahan yang membentuk kepada PN.

MP sertai PN dapat jawatan bukan ganjaran

Disoal mengenai ahli parlimen PH yang menyertai PN mendapat jawatan dalam kabinet, Afif berkata dirinya tidak melihat itu sebagai satu ganjaran kepada mereka tetapi menyifatkannya sebagai satu “perkara biasa.”

“Saya tak nampak itu sebagai satu reward. Itu perkara biasa. Siapa pun jadi kerajaan dia pasti akan tawarkan kepada ahli parlimen dia untuk jadi menteri, timbalan menteri kabinet.

“PH pun lantik menteri timbalan menteri dari kalangan ahli parlimen, tidak timbul masalah,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Afif berkata bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mewujudkan satu pasukan untuk membantunya mentadbir negara supaya dapat bergerak ke hadapan.

Beliau juga mengakui bahawa penyingkiran golongan profesional dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kemudian digantikan kepada ahli parlimen menjadi perdebatan oleh banyak pihak.

Afif berkata, jika dibandingkan dengan ahli parlimen yang dilantik dalam jawatan di GLC, terdapat di antara mereka yang dari profesional dalam sesuatu bidang.

“Cuma kebetulan dia masuk bertanding politik, dia jadi ahli parlimen. Jadi kita tak boleh nak kata bahawa lantikan profesional atau siapa saja yang duduk dalam lantikan politik di GLC sebelum ini, kita pun tak tahu proses dia macam mana.

“Adakah ada interview? Adakah ada proses untuk memohon? Adakah proses-proses itu berjalan seperti kalau you nak masuk sebarang syarikat korporat?

“Jadi benda-benda ini saya rasa tak timbul masalah sebab mereka faham bahawa ia adalah lantikan politik. Lantikan politik. Dan ini berlaku di setiap peringkat pun,” katanya.

Reformasi utama perlu diteruskan

Beliau berpendapat, terdapat beberapa perkara besar berkaitan reformasi yang perlu diteruskan oleh kerajaan PN terutamanya dari segi tadbir urus, integriti, pembahagian kuasa, kebebasan bersuara yang pada masa sama masih termaktub kepada prinsip-prinsip rukun negara.

Beliau turut menyentuh mengenai tindakan kerajaan terhadap stesen penyiaran antarabangsa Al Jazeera sebelum ini yang menyiarkan laporan khas dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown yang bertindak menyiasat sama ada Al-Jazeera mempunyai lesen untuk menghasilkan dokumentari ataupun tidak.

“Di sinilah langkah proaktif perlu diambil, itu saya lihat ketika kaukus reformasi yang diwujudkan dalam pentadbiran PH, kalau kaukus itu diteruskan, saya rasa baik, tapi mesti berfungsi.

“Masalah yang saya lihat kaukus lepas tidak berjalan seperti yang kita harapkan...selain dari Undi 18 yang saya rasa sangat substantive dan saya antara juga yang menyokong usaha itu,” katanya.