Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kalau PKP semula, PKS akan sangat terkesan - Pakar ekonomi

Angka jangkitan kes Covid-19 yang menunjukkan peningkatan pada masa ini menyebabkan kerajaan mengambil keputusan mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak itu.

Malah, tengah hari tadi, Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob, tidak menolak kemungkinan kerajaan mungkin terpaksa melaksanakan kembali perintah kawalan pergerakan (PKP) - sekaligus “menutup semua pegerakan” - jika kes positif harian Covid-19 di negara ini mencecah tiga angka.

Sekiranya menjadi kenyataan, bagi pakar ekonomi dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling kuat terkena tempiasnya.

“Kerana ia (PKS) dah kena (hampir) tiga bulan hari tu, dah nyawa-nyawa ikan. Kalau kena lagi sebulan-dua, itu yang kita risaukan.

“Impak kali kedua ni kalau kena, teruk lagi. Sebab dulu (peniaga PKS) ada juga simpanan. Sekarang, semua ‘peluru’ dan simpanan sudah tak ada lagi. [...] Semua dah digunakan dulu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lalu menyebabkan hampir semua sektor ekonomi diarahkan tutup kecuali perkhidmatan penting, mengakibatkan banyak peniaga hilang punca perniagaan.

Hanya setelah kelonggaran diberikan dalam PKP bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu, barulah kebanyakan pernigaaan boleh beroperasi semula, namun tertakluk kepada SOP yang cukup ketat, sebelum dilonggarkan lagi menerusi PKP pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun.

Kata Shazali, bagi mengelakkan hal itu, pengusaha PKS perlulah memastikan SOP yang ditetapkan benar-benar dipatuhi terutama di kalangan pelanggan, kerana jika PKP dilaksanakan, bukanlah pelanggan, tetapi peniaga sendiri yang menanggung akibat yang teruk.

Berdasarkan pemerhatian peribadinya, dia menyifatkan pematuhan SOP di premis perniagaan, sebahagiannya masih di tahap “acuh tidak acuh”.

Bagaimanapun, dia berpendapat, sekiranya harus dilaksanakan sekalipun, PKP mungkin hanya akan dikuatkuasakan secara selektif di kawasan-kawasan yang tertentu sahaja, seperti kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah.

Setidak-tidaknya, tambahnya, kerajaan boleh menyusun strategi untuk membantu peniaga-peniaga di kawasan berkenaan sahaja yang terpaksa menutup kedai, berbanding PKP fasa pertama yang menyekat pergerakan di seluruh negara.

“Kalau selektif, contohnya di Kuching, PKS di Kuching ini tidaklah seramai PKS di seluruh Malaysia. Nak bantu itu adalah sumber nak bantu.

“Tapi nyawa tak boleh nak dipertaruhkan. Kalau harus tutup, (maka akur) tutuplah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kuching diisytiharkan sebagai zon merah semalam.

Tak perlu tutup perniagaan, patuhi SOP

Bagi Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), kerajaan tidak perlu menutup sektor ekonomi yang baru dibuka, sebaliknya memastikan mereka benar-benar mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Ini termasuklah meningkatkan pemantauan ke kawasan yang berpotensi menjadi kluster baru seperti pasar raya, pasar basah, gedung membeli belah, restoran dan juga medan selera.

”Kesan penutupan semula sektor akan menyebabkan ekonomi terjejas lebih teruk lagi malahan boleh melarat hingga ke tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya, buat masa ini, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka sekitar -3 hingga -2 peratus dan pemulihan dijangka berlaku pada tahun hadapan.

Jelasnya, jika sektor kembali ditutup, kemungkinan Malaysia akan mengalami technical recession, iaitu apabila negara mencatatkan pertumbuhan KDNK negatif untuk dua suku berturut-turut.

“Ini boleh berlaku pada suku kedua dan ketiga tahun ini, dan boleh meleret ke suku tahun keempat jika sektor-sektor kekal tutup melangkaui September.

“Jika ini berlaku, sasaran kerajaan untuk mencapai pertumbuhan positif KDNK negara pada tahun hadapan sekitar 7.5 peratus mungkin tidak akan kesampaian. Mungkin masih positif tapi pada kadar yang lebih rendah,” katanya lagi.

Ahmed Razman dan Shazali melihat langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos ini sebagai usaha baik bagi membendung wabak berkenaan dan mengelak penguatkuasaan semula PKP, sekaligus mengelak mana-mana sektor ekonomi ditutup semula.

PKPP yang bermula 10 Jun sepatutnya berakhir 31 Ogos nanti, dan sepatutnya digantikan dengan fasa normalisasi sehinggalah vaksin untuk virus Covid-19 ditemui kelak.

Setakat tengah hari semalam, kes jangkitan baru Covid-19 di dalam negara mencatatkan 23 kes berbanding 21 pada hari sebelumnya.