Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Al Jazeera: Serangan terhadap 101 East di tahap paling tinggi

Pasukan penyiar antarabangsa Al Jazeera bagi program 101 East menganggap cabaran yang dihadapi di negara ini bukan sesuatu yang asing setelah melakukan tugas selama 14 tahun.

Bagaimanapun, pengarah urusan Al Jazeera bagi saluran bahasa Inggeris, Giles Trendes berkata, serangan terbaru terhadap episod Locked Up in Lockdown Malaysia adalah sesuatu yang tidak dijangka dan belum pernah berlaku.

"Pasukan 101 East telah membuat liputan beberapa berita yang menggegarkan di masa lalu," kata Trendle dalam wawancara menerusi telefon dari pejabat Al-Jazeera di Qatar.

"Kami membuat filem berjudul Murder In Malaysia mengenai pembunuhan wanita Mongolia, dan salah seorang wartawan kami dihantar pulang dari Malaysia sebelum episod itu ditayangkan.

"Ada masalah di masa lalu tetapi tidak pada tahap yang sedang kami hadapi sekarang," katanya.

Al Jazeera saluran bahasa Inggeris ditubuhkan pada tahun 2006 sebagai lanjutan daripada programnya yang berbahasa Arab.

Trendle berkata, Kuala Lumpur menjadi lokasi yang tepat bagi kumpulan produksi 101 East.

Tunggu perkembangan lanjut

Pada masa sama, beliau menyatakan kebimbangan mengenai kebebasan media di Malaysia, terutama apabila tindakan diambil terhadap wartawan yang bertugas.

"Ya, kami bimbang dengan kebebasan media di Malaysia.

"Kami khuatir wartawan diperlakukan seperti penjenayah, dan salah satu slogan kami adalah kewartawanan bukan jenayah," kata Trendle.

Tujuh kakitangan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal siasat awal bulan ini.

Trendle berkata, pihak pengurusannya masih menunggu perkembangan mengenai status kes tersebut.

"Kami bimbang wartawan dipanggil untuk siasatan jenayah tapi kami tidak rasa kami melakukan sesuatu yang salah.

"Kami bersedia untuk mempertahankan diri dan mengatakan bahawa kewartawanan kami adalah adil, seimbang dan tidak berat sebelah," katanya.

Sejak diterbitkan, warganet menggunakan media sosial bagi menyanggah fakta dalam laporan tersebut dan menggesa wartawan Al Jazeera dihantar pulang.

Selain serangan di internet dan siasatan polis,  Al Jazeera juga berada di bawah pemerhatian Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menyatakan stesen penyiar itu memerlukan  lesen pengeluaran filem di negara ini.

Berikutan pelbagai reaksi terhadap keperluan mendapatkan lesen di bawah Akta Finas 1981, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah semalam menegaskan komitmen kerajaan terhadap kebebasan media dan hak individu di media sosial.

Sementara itu, Trendle menyebut mengenai perbicaraan menghina mahkamah terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan sebagai alasan di sebalik langkah Al Jazeera menutup ruang komen penontonnya pada episod yang ditayangkan 3 Julai lalu.

"Al Jazeera dikritik kerana tidak mengaktifkan komen di laman web laman filem itu tetapi tentu saja kami menutup komen tersebut kerana kes Malaysiakini.

"Kami tidak mahu bertanggungjawab atas komen yang menyinggung perasaan atau perkauman yang mungkin dilihat kritikal dan oleh itu berada dalam situasi seperti Malaysiakini  ketika ini," katanya.

Setuju untuk diwawancara

Al Jazeera juga mengulangi komitmen terhadap kewartawanan yang adil, tidak berat sebelah dan seimbang, termasuk usaha menghubungi pihak berkuasa dan kementerian yang relevan,  meskipun "ditolak atau diabaikan".

Selain terbuka untuk mendapatkan penjelasan daripada mana-mana pihak berkuasa, Trendle berkata beliau juga telah bersiap sedia untuk diwawancara  dengan agensi berita nasional Bernama semalam tetapi diberitahu kemudian bahawa ia tidak jadi.

"Saya telah bersetuju untuk bercakap dengan mereka.

"Saya sangat gembira dan semuanya sudah siap, tapi kami dimaklumkan tak lama kemudian bahawa wawancara itu tak jadi," katanya.

Mengenai keselamatan sumber, Trendle berkata prosedur Al Jazeera adalah terlebih dahulu mendapatkan persetujuan sebelum melakukan rakaman terhadap mereka, sama ada dalam rakaman atau sebagai sumber tanpa nama.

Dalam kes ini, beliau berkata pendatang Bangladesh, Md Rayhan Kabir bersetuju untuk diwawancara dan tindakan 'menyasarkannya' adalah sangat dikesalkan.

Jabatan Imigresen sebelum ini mengumumkan mencari Rayhan, 25, dan kemudian menarik balik permit kerja beliau.

Dalam kenyataannya semalam, Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud mengesahkan Rayhan ditahan di sebuah kondominium yang dipercayai menjadi tempat persembunyiannya.

Sentimen masyarakat terhadap pelarian dan pendatang meningkat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan akibat wabak Covid-19, dengan komen-komen kebencian semakin meningkat di Internet.

Beberapa NGO berkata tindakan keras pihak berkuasa terhadap warga asing yang tidak memiliki dokumen semasa PKP juga menambahkan lagi sentimen negatif terhadap pelarian dan pendatang.