Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SU Agung: Laporan Warisan akan tumbang 'cerita lama'

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua menafikan laporan yang mendakwa partinya yang menerajui kerajaan negeri bakal tumbang dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Malaysiakini, Loretto mendakwa laporan berita dari Straits Times Singapura semalam adalah cerita lama yang diulang-ulang.

Loretto berkata, kebarangkalian untuk menumbangkan Warisan di Sabah adalah tipis kerana gabungan yang dipimpin parti itu mempunyai dua pertiga kerusi DUN.

“Sejak dulu cakap kerajaan Sabah mahu tukar kerana ada YB (yang berhormat) yang mahu lompat.

“Warisan ada majoriti besar berbanding (majoriti) Muhyiddin (Yassin) di Parlimen kamu tahu,” kata Loretto.

Menurut laporan Straits Times pagi semalam, Sabah di ambang pertukaran kerajaan ekoran 14 wakil rakyatnya akan lompat parti dan membentuk kerajaan baru yang dipimpin Adun Sibuti, Musa Aman.

Jika hal itu berlaku, Musa bakal meraih sokongan daripada 34 Adun.

Bagaimanapun, Straits Times kemudian mengemas kini laporan mereka malam tadi dengan mendakwa pendirian dua Adun yang dikatakan akan melompat parti 'goyah'.

Sejak akhir Februari lalu, Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri baru di Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Spekulasi bahawa negeri di bawah bayu itu akan turut serta bertukar kerajaan bertiup kencang sejak pertengahan Jun dengan menyaksikan Adun dari Kuala Penyu dan Aduan Sugut dari Upko melompat parti.

Meskipun demikian, Warisan termasuk Upko, DAP dan PKR masih mempunyai 43 kerusi iaitu lebih dua pertiga daripada 60 kerusi keseluruhan.

Setakat ini, Adun Kapayan, Elopura, Tandek, Tanjung Kapor, Sri Tanjung, Likas dan Moyog mendakwa mereka telah terima tawaran daripada pihak PN.

Hal ini dibangkitkan dalam Parlimen semalam apabila Ketua Pemuda Warisan merangkap Anggota Parlimen Sepanggar, Azis Jamman memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau telah menerima “tawaran” menerusi pesanan teks oleh orang “nombor satu”.

Semalam, Pengerusi Warisan, Liew Vui Keong memberitahu Malaysiakini khabar angin bahawa partinya akan tumbang sebagai mengarut namun mengakui terdapat percubaan rampasan kuasa itu.


Laporan tambahan oleh Kow Gah Chie.