Tukang urut mengaku tak bersalah berbaiah kepada pengganas
Seorang tukang urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberi sokongan terhadap kumpulan pengganas Daesh dengan berbaiah, dan memiliki item berkaitan kumpulan militan itu tahun lepas.
Wan Amirul Azlan Jalaludin, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid.
Kes itu pertama kali disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak.
Mengikut pertuduhan pertama, Wan Amirul didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu dengan cara berbaiah di sebuah rumah di Perumahan Awam 3, Jalan RPA 2/3, Kampung Gajah pada 9.03 pagi, 24 Okt 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau berniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Dia juga dituduh memiliki item yang berunsur perbuatan pengganas atau berkaitan dengan kumpulan pengganas di lokasi sama pada 7.20 pagi, 6 Jan lalu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai