Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Siar dokumentari Altantuya: SKMM akui cadang Astro didenda

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menjelaskan bahawa aduan ulangan siaran dokumentari “Murder in Malaysia|101 East” di saluran 513 Astro telah disiasat kerana pelanggaran syarat lesen pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan (individu) [CASP-I].

Dalam satu kenyataan, jabatan komunikasi korporat SKMM memaklumkan siasatan ke atas penyiaran semula dokumentari Al Jazeera mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu warga negara Mongolia itu dibuat mengikut Seksyen 206(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98).

“Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 31 Disember 2015. SKMM telah diarah pada 5 Januari 2016 untuk mendakwa Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd di bawah Seksyen 211 AKM 98 atas kesalahan memberi kandungan yang jelik sifatnya dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang.

“Pada 8 Januari 2016, SKMM telah mengemukakan cadangan kepada AGC untuk mempertimbangkan semula keputusan mendakwa, sebaliknya mencadangkan Measat Broadcast dikompaun.

“Cadangan itu telah dipersetujui dan SKMM diarahkan untuk menyediakan izin mengkompaun serta menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan,” kata suruhanya itu.

Penjelasan itu dibuat setelah Malaysiakini melaporkan semalam bahawa Measat Broadcast yang mengendalikan Astro, telah dikeluarkan beberapa notis kompaun berjumlah RM4,000 awal bulan ini.

SKMM juga berkata, kes telah ditaklimatkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 31 April 2019 dan 4 Jun lalu.

Arahan mengkompaun kemudiannya telah dikeluarkan oleh AGC pada 23 Jun lalu.

“Tawaran mengkompaun bertarikh 1 Julai telah dikeluarkan oleh SKMM terhadap Measat Broadcast atas kesalahan melanggar Seksyen 211 AKM 98.

“Measat Broadcast mempunyai pilihan untuk menerima tawaran kompaun, mengemukakan rayuan atau menolak tawaran kompaun,” kata suruhanjaya itu lagi.

Dokumentari "Murder In Malaysia" itu memperincikan pembunuhan Altantuya pada Oktober 2006 dan mengaitkannya dengan Najib Razak, yang merupakan perdana menteri ketika filem itu ditayangkan.

Sebagai respons, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang menafikan bahawa Najib bertemu atau mempunyai hubungan dengan Altantuya.

Pejabat itu juga menafikan bahawa dua lelaki yang disabitkan atas pembunuhan Altantuya adalah pengawal peribadi Najib.

Wartawan 101 East, Mary Ann Jolley juga dihantar pulang semasa penerbitan dokumentari tersebut.

Kementerian Dalam Negeri memberitahu Al Jazeera bahawa Jolley dihantar pulang kerana kegiatannya "berpotensi memberi kesan negatif terhadap imej Malaysia".

Pada tahun 2018, Najib, dalam wawancara dengan Jolley, mengatakan kepadanya bahawa dia dihantar pulang kerana dia "mengganggu" dan "membuat pembohongan".

Jolley memenangi "Interview of the Year" dalam Anugerah Kewartawanan Televisyen Royal Television Society di UK kerana temu ramah itu.

Pada Selasa lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkata Al Jazeera tidak mempunyai lesen untuk membuat filem "Locked Up in Malaysia's Lockdown".

Polis sedang menyiasat Al Jazeera kerana didakwa melanggar Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981 (Pindaan 2013) kerana menjalankan aktiviti penerbitan filem tanpa lesen yang sah dari Finas.