Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Melayu, Bumiputera terus ketinggalan jika tiada tindakan radikal

Melayu, Bumiputera akan terus ketinggalan jika tiada tindakan radikal dilakukan kerajaan dalam tempoh 10 tahun, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman, berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membuktikan bahawa kejayaan program bumiputera tidak lagi diukur dengan jumlah peruntukan belanjawan, tetapi keberhasilan pada ekonomi negara

Jelasnya, pendapatan isi rumah Bumiputera masih lagi corot berbanding Cina dan India, begitu juga dari segi pemilikan ekuiti Bumiputera masih ketinggalan.

"Dalam erti kata lain kalau tidak apa apa tindakan radikal yang dilakukan dalam 10 tahun, orang Melayu dan Bumiputera akan terus mundur dan ketinggalan dalam menikmati kemakmuran dalam negara.

"Dengan kesan pandemik Covid ni, keadaan akan lebih terdesak dan mencabar bagi golongan Bumiputera.

"Oleh itu Harapan MTEM, Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) perlu melibatkan pelbagai pemegang taruh ekonomi Bumiputera termasuk NGO dan masyarakat sivil bukan sahaja peniaga dan usahawan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MKB harus menjadi fungsi Teraju yang baru, tidak menggandakan fungsi agensi atau institusi yang sedia ada semata-mata.

MTEM juga menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Redzuan Yusof untuk melihat kembali sasaran di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 berdasarkan garis kemiskinan yang baru wajar dipertimbangkan.

Pihaknya juga menyambut baik kenyataan pemimpin DAP Ong Kian Ming supaya kerajaan memperhalusi data Bumiputera supaya dapat mengenal pasti strategi yang lebih sesuai untuk kumpulan berbeza.