Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lokman Adam fail rayuan terhadap prosiding komital

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan mahkamah yang menolak rayuannya untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadapnya.

Prosiding komital itu dipohon Peguam Negara setelah Lokman Noor didakwa mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi berkenaan ialah bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, saksi utama dalam kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memberitahu pemberita bahawa Lokman telah memfailkan permohonan itu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 Mei lepas, namun Mahkamah Persekutuan masih belum menetapkan tarikh untuk perbicaraan.

Mohamad Mustaffa yang ditemui selepas pengurusan kes hari ini, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, yang menetapkan 12 Okt untuk pengurusan kes lain bagi menetapkan tarikh untuk mendengar prosiding perbicaraan.

Hadir dalam prosiding itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram dan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Lokman Noor.

Mahkamah Rayuan pada 13 Mei lepas telah menolak rayuan Lokman Noor dan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan permohonan kebenaran Peguam Negara itu.

Pada 14 Jan lepas, hakim Sequerah, menolak permohonan Lokman Noor itu selepas berpendapat kenyataan oleh Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden (Lokman Noor).

Pada 22 Okt tahun lepas, hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 Sept tahun lepas.

Thomas, yang dilantik sebagai Peguam Negara untuk tempoh dua tahun pada 4 Jun, 2018 oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Mohamed Apandi Ali, meletak jawatan pada 29 Feb lepas.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor dengan memohon supaya responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Menurut Thomas, pada 25 Sept tahun lepas, Lokman Noor dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.

- Bernama