Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP dakwa ejen kepada 'nombor satu' tawar Adun Sabah untuk sokong PN

PARLIMEN | Seorang wakil rakyat Sabah hari ini membacakan pesanan teks yang dikatakan sebagai bukti usaha sedang dijalankan agar Adun di negeri itu menyokong Perikatan Nasional (PN).

Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) berkata pesanan itu dihantar kepada Anggota Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis, dan laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.

Pesanan teks dalam bahasa Inggeris itu menyatakan: "Saya telah diarahkan oleh nombor satu untuk berhubung dengan anda. Boleh kita bercakap? Saya ada tawaran.

"YB, Sabah akan bertukar tangan. Jangan lepaskan peluang keemasan. Terima tawaran saya hari ini, saya di Kuala Lumpur."

Azis tidak mendedahkan identiti "nombor satu" mahupun penghantar pesanan teks itu.

"Saya harap Menteri Dalam Negeri meyiasat perkara ini. Ini adalah satu bentuk gangguan dan percubaan membeli dan rasuah (wakil rakyat) yang wajar dikenakan tindakan tegas," katanya.

Beliau juga berkata ada sejumlah Adun Sabah yang didekati dan ditawarkan wang untuk menukar sokongan mereka.

Sebelum ini timbul khabar anging bahawa bekas ketua menteri dan pengerusi Umno Sabah Musa Aman sedang merancang rampasan kerajaan negeri itu.

Terdahulu Adun DAP Sabah dipetik Malay Mail sebagai mendakwa mereka ditawarkan sehingga RM15 juta untuk melompat ke PN.

Ketika dihubungi, Isnairassah berkata beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Isnaraissah

Beliau enggan mendedahkan perinciannya tetapi berkata dihubungi sebanyak tiga kali oleh individu sama yang cuba menariknya untuk menukar sokongan.

Adun Gum Gum Arunarsin Taib pula berkata beliau dihubungi sepuluh kali sejak bulan lalu agar menyokong Musa sebagai ketua menteri.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah itu mendakwa kadar tawaran untuk menukar sokongan adalah RM27 juta.

"Ada tambahan RM5 juta kepada menteri dan pembantu menteri menjadikan jumlahnya RM32 juta hanya untuk mengkhianati rakyat," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata walaupun usaha untuk menarik sokongan Adun memang berlaku, "ia tak akan berjaya".

"Wang tidak dapat memberi maruah dan cinta kami kepada Sabah. Generasi pemimpin Sabah di bawah Ketua Menteri Shafie Apdal akan kekal bersama untuk rakyat negeri dan Sabah yang lebih baik," katanya lagi.

Laporan tambahan oleh Ng Xiang Yi