Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pejabat Pilihan Raya Sarawak ditutup sementara

Operasi Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sarawak ditutup sementara mulai Isnin lepas sehingga 2 Ogos ini selepas seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmarudin Ishak hari ini.

Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan pandemik Covid-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, semua kakitangan PPN Sarawak yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan diarah menjalani saringan serta kuarantin kendiri wajib selama 14 hari.

“Susulan daripada itu, operasi pejabat PPN Sarawak ditutup sehingga selesai tempoh kuarantin berkenaan memandangkan tiada kakitangan yang bertugas di pejabat itu sepanjang tempoh kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ikmarudin, pada masa sama pembersihan dan nyah kuman di ruang dan kawasan sekitar pejabat dilaksanakan sebagai langkah pencegahan.

Beliau menambah urusan-urusan pilihan raya seperti pendaftaran dan semakan pengundi serta yang berkaitan masih boleh dilakukan melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPRDaftar dan MySPRSemak, Hotline SPR di 03-88927018 atau SMS ke 15888 (taip SPR SEMAKNO. KAD PENGENALAN)

- Bernama