Pengeluaran lesen minuman keras baru dibeku hingga DBKL kemuka garis panduan
Pembekuan pengeluaran lesen minuman keras baru di Kuala Lumpur akan diteruskan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, ini berikutan beberapa kemalangan jalan raya dan kematian yang didakwa melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Annuar berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimennya sebagai menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai alasan di sebalik keputusan untuk membekukan permit lesen minuman keras baru pada 2 Jun.
"Selaras dengan perkembangan semasa dan susulan berlakunya beberapa kemalangan jalan raya melibatkan (pemandu di bawah pengaruh) minuman keras, maka adalah wajar pengeluaran lesen baru menjual minuman keras ini dibekukan buat sementara waktu sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat kajian dan penandarasan dengan modul pengurusan pengeluaran lesen minuman keras oleh negara lain contohnya Singapura yang menghadkan waktu penjualan minuman keras, penjualan minuman keras secara runcit adalah dilarang dari jam 10.30 malam sehingga 7.00 pagi.
"Kajian penyediaan Garis Panduan Lesen Minuman Keras ini akan dilaksanakan bersama kementerian dan agensi kerajaan lain yang berkaitan seperti Jabatan Kastam, Kementrian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengangkutan," kata Annuar dalam jawapan bertulisnya hari ini.
Kok sebelum ini juga bertanya apakah sebelum pembekuan, kementerian Annuar telah mengkaji secara komprehensif kesan dasar baru yang akan diperkenalkan terhadap usaha untuk menarik pelancong asing dan perniagaan industri perhotelan dan pusat hiburan.
Statistik kerajaan menunjukkan bahawa dari tahun 2011 hingga 2019, terdapat 47 kematian akibat pemanduan di bawah minuman keras di Malaysia daripada sejumlah 55,887 kes kematian di jalan raya.
Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah mula mengkaji semula undang-undang semasa untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Usaha itu kemudian diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memperincikan beberapa cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tujuan berkenaan.
Ia termasuk menggandakan hukuman terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian sehingga 20 tahun penjara dan menjatuhkan hukuman penjara mandatori bagi pemandu yang memandu dengan melebihi had alkohol.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai