Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Ketetapan untuk izin Finas isu dokumentari Al Jazeera beri kesan pada media lain'

Kenyataan kerajaan bahawa dokumentari Al Jazeera baru-baru ini mengenai pekerja migran memerlukan kebenaran dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) adalah "membimbangkan" kerana ia mempunyai kesan ke atas organisasi media lain, kata Kelab Koresponden Asing Malaysia (FCCM).

"Kami menghormati undang-undang dan kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menyiasat setiap tuduhan pelanggaran undang-undang, tapu kami prihatin dengan perkembangan ini memandangkan media di Malaysia telah dibenarkan untuk beroperasi dan melakukan liputan peristiwa dalam batas akreditasi yang ditetapkan oleh Jabatan Penerangan dan undang-undang.

"Berbagai dokumentari berita telah dihasilkan dan disiarkan di saluran televisyen tempatan - termasuk media dalam negara - dan asing, tanpa masalah ini pernah muncul sebelumnya.

"Hakikat bahawamasalah ini kini menjadi penyiasatan jenayah sangat membimbangkan apabila mengambil kira banyaknya pengamal media yang telah membuat produksi video pada masa lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dokumentari "Locked Up in Malaysia's Lockdown" oleh Al Jazeera, saluran berita yang berpusat di Qatar, telah menyoroti apa yang didakwa sebagai amalan diskriminasi terhadap imigran semasa pandemik Covid-19.

Dokumentari itu dikecam kerajaan yang menyifatkan ia sebagai berat sebelah.

Polis sejak itu menyoal wartawan yang terlibat dalam dokumentari berkenaan sementara Jabatan Imigresen mengesan warga asing yang ditemuramah dalam laporan dokumentari itu.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah (gambar bawah) juga mengatakan kementeriannya juga sedang menyiasat sama ada Al Jazeera memperoleh lesen produksi filem dari Finas untuk menghasilkan dokumentari tersebut.

FCCM mengatakan sebelum kontroversi dokumentari Al Jazeera, pihaknya tidak menyedari perlunya mendapatkan kebenaran daripada Finas untuk menghasilkan video berita, tidak kira sama ada ia disebut sebagai dokumentari atau tidak.

"Bahan yang disiarkan di saluran berita sebelum ini tidak memerlukan izin dari Finas, baik untuk agensi berita asing atau tempatan," kata FCCM.

FFCM juga menambah bahawa pihak mereka telah menulis surat kepada Saifuddin untuk menjelaskan perkara itu kerana menurut mereka tindakan terhadap Al Jazeera juga akan memberi kesan kepada organisasi media lain.

"FCCM telah menulis surat kepada menteri untuk menjelaskan apakah anggota media dan pegawai korporat asing sekarang terikat dengan peraturan dan undang-undang untuk pembuat filem dan dokumentari, kerana tindakan semacam itu akan sangat luas akibatnya.

"Kami juga telah menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam dialog mengenai hal ini dan hal-hal lain mengenai industri media yang telah menjadi isu melibatkan kepentingan awam akhir-akhir ini," katanya.

FCCM mengatakan pihaknya berharap agar kerajaan, seperti kata Saifuddin semasa Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada bulan Mei, terus percaya bahawa ia memiliki kewajiban untuk menegakkan kebebasan untuk media.

Semalam, pakar undang-undang yang mempertimbangkan masalah itu juga mengatakan tindakan kerajaan terhadap Al Jazeera, yang memperluas lesen produksi filem di luar ruang lingkup pembuat filem konvensional, akan memberi kesan yang meluas.

Ini kerana tafsiran undang-undang akan menyebabkan video YouTube dan TikTok sekalipun akan memerlukan izin daripada kerajaan sebelum dapat dihasilkan.

[Baca berita asal]