Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ramkarpal tunjuk video, hansard bapa mainkan rakaman audio di Parlimen

Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menunjukkan bukti rakaman audio pernah dimainkan di Dewan Rakyat, iaitu oleh mendiang bapanya Karpal Singh pada 2009, yang ketika itu juga anggota Parlimen Bukit Gelugor.

Beliau mengemukakan keratan hansard Parlimen dan rakaman video dari Youtube yang menunjukkan Karpal memainkan rakaman audio ketika sidang Dewan Rakyat.

“Saya dengan tegasnya menafikan dakwaan mengelirukan Dewan (yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan).

“[..] dan menyatakan bahawa terdapat satu precedent (duluan) di mana bekas ahli parlimen Bukit Gelugor pada 25 Februari 2009 telah pun memainkan satu rakaman audio di dalam Dewan ketika ucapan beliau,” katanya menerusi sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Ramkarpal turut memainkan rakaman video dari Youtube yang bertajuk ‘Singh is King....King is Singh2’ yang berdurasi selama 3.50 minit.

Ia selepas kerajaan memberikan tempoh sehingga berakhir sidang parlimen petang ini kepadanya untuk membuktikan perkara itu.

Takiyuddin berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan ahli parlimen DAP itu dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan kerana mengelirukan Dewan.

Perlu dinyatakan bahawa kenyataan Takiyuddin berdasarkan kenyataan Ramkarpal dia merasakan mendiang bapanya berbuat demikian pada 2007, manakala video dan hansard daripada sidang 25 Februari 2009.

"Jika saya kata 'kalau tak silap' (ia bermakna) saya tak pasti...Dan di mana unsur mengelirukan (Dewan)?" soalnya.

Semalam, Ramkarpal cuba memainkan rakaman audio yang didakwa mirip suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di parlimen.

Dalam rakaman itu, suara berkenaan mengatakan bahawa ahli parlimen Umno boleh dipikat untuk menyertai Bersatu sekiranya mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ramkarpal pada mulanya cuba memainkan rakaman audio tersebut, namun tindakan itu dihentikan oleh Timbalan Speaker, Azalina Othman Said.

Dalam mempertahankan tindakannya, Ramkarpal berkata Karpal pernah memainkan rakaman audio bekas ketua hakim negara, Zaki Azmi di Dewan Rakyat pada 2007.

Bagaimanapun Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata semakan terhadap rekod Parlimen mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan perkara itu berlaku.

Sementara itu, Ramkarpal turut menggesa Takiyuddin agar membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Saya cuma betulkan (kenyataan yang salah). Saya tak datang Dewan untuk kelirukan. Saya gesa menteri periksa rekod sebelum buat kenyataan melulu," katanya lagi.

Tidak lama selepas sidang media itu, Anggota Parlimen Arau Shahidan Kassim pula membuat sidang media itu berhubung isu sama.

Beliau pada mulanya tampak keliru katika pemberita menunjukkan kenyataan Ramkarpal dan salinan hansard kepadanya.

Bagaimanapun beliau kemudian berkata akan meminta Ramkarpal dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen kerana mengerlirukan Dewan Rakyat.

"Ini kerana dia tidak bercakap benar berhubung peristiwa yang berlaku dalam 2007. Kalau dia betulakn kemudian, menteri akan menelitinya.

"Saya cuma nak tengok sama ada rakaman audio (dimainkan) atau tidak pada 2007," katanya lagi.