Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Akar umbi minta Bersatu gantung bahagian Ketereh

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta supaya menggantungkan bahagian Ketereh, Kelantan, kerana didakwa melanggar peraturan parti khususnya dalam membuat keputusan melibatkan mesyuarat dan pemilihan.

Penyandang Timbalan Ketua Bahagian Ketereh, Mohd Uzair Yusof berkata, pihaknya bersama 10 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian menandatangani satu surat permohonan bersama agar bahagian itu dikenakan tindakan tersebut.

Menurutnya, ketua bahagian itu antara tidak memanggil sebahagian besar ahli jawatankuasa bagi mengadakan mesyuarat.

"Sepanjang menjadi ketua penaja bahagian, beliau tidak pernah memanggil AJK bahagian untuk mengadakan mesyuarat. Jadi amat tepat sekiranya Bersatu bahagian Ketereh digantung bagi menyusun semula pimpinan demi kebaikan parti pada masa akan datang.

"Selain itu, Bersatu bahagian juga gagal mengadakan mesyuarat untuk menetapkan tarikh-tarikh bagi mesyuarat cawangan. Sebaliknya ketua bahagian menggunakan kuasa sendiri untuk menentukan tarikh-tarikh mesyuarat tanpa merujuk kepada AJK," katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu Mohd Uzair mendakwa, masalah juga melibatkan pengisytiharan senarai ahli yang tidak dikeluarkan kepada AJK.

"Senarai nama ahli yang layak menghadiri mesyuarat juga tidak diedarkan walaupun sudah diminta berkali-kali sama ada secara lisan atau melalui medium seperti grup WhatsApp.

"Alasan diberikan biasanya kerana senarai keahlian belum diterima," katanya.

Justeru tambahnya, sebahagian besar AJK bahagian berharap pihak pimpinan dapat mempertimbangkan supaya Bersatu Ketereh digantung dan tindakan susulan diambil segera.