Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP cadang ucapan rasis dirujuk automatik ke JK parlimen

Kasthuri Patto mencadangkan pindaan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dibuat supaya pihak yang mengeluarkan kenyataan rasis dan seksis dirujuk secara automatik ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

Anggota parlimen Batu Kawan mencadangkan pindaan dibuat dalam Peraturan Mesyuarat 36 supaya wakil rakyat terlibat disiasat jawatankuasa itu dan didenda tidak kurang dari RM500.

Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim (bawah) sebelum ini meminta maaf selepas didakwa mengeluarkan kenyataan rasis kepada Kasthuri.

Sementara itu, Kasthuri berkata speaker mempunyai kuasa dalam Peraturan Mesyuarat 83(5) untuk memanggil mesyuarat Jawatankuasa Peraturan-peraturan bagi membincangkan perkara tersebut.

“[...] Maka perubahan ini dapat direalisasikan dalam masa yang singkat, dan saya sudi dipanggil untuk memberikan keterangan atas cadangan pindaan kepada Jawatankuasa Peraturan-peraturan mesyuarat,” katanya lagi.

Kasthuri berharap cadangan itu dapat dipertimbangkan dan beliau tidak perlu membuat usul bagi perkara tersebut.

“Ia bakal melambatkan proses parlimen kerana kita tahu sidang kali ini lebih bincang berkenaan ekonomi pada pasca-Covid-19,” katanya.