Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MySejahtera bermula sebagai CSR, kata menteri

Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata aplikasi MySejahtera bermula sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) namun tidak menjelaskan sama ada akan ada kos dikenakan pada masa hadapan.

Wong Kah Woh (DAP- Ipoh Timur) meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah untuk menyatakan jumlah kos yang terlibat dalam pembangunan aplikasi Gerak Malaysia dan MySejahtera dan jumlah muat turun setakat ini.

Dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, kementerian berkata aplikasi Gerak Malaysia, yang digunakan untuk mengumpul data pergerakan rentas negara semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), sepenuhnya “ditanggung oleh pihak industri”.

Untuk aplikasi MySejahtera pula yang digunakan kerajaan untuk mengesan kontak, kementerian berkata ia “mula dibangunkan secara Corporate Social Responsibility (CSR)”.

Katanya, Gerak Malaysia telah dimuat turun sebanyak 2.2 juta kali sementara MySejahtera pula mempunyai 6,366,678 pengguna setakat 15 Julai.

Dalam satu jawapan berasingan, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bertanya Saifuddin kenapa Spektrum 700MHz telah ditandatangani bukan secara tender terbuka seperti perancangan asalnya.

Jawapan bertulis itu menjelaskan berkenaan kepentingan spektrum dan 5G tetapi tidak menjawab soalan Gobind berkenaan tender terbuka itu.

Saifuddin, yang menandatangi arahan pemberian jalur komunikasi kepada beberapa syarikat yang dibuat tanpa melalui tender, pada 3 Jun telah membatalkan arahan berkenaan.