Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Laporan: Wanita bergelang merah jambu Covid-19 dirawat di hospital

Wanita yang dikenal pasti berkunjung ke sebuah kedai makan walaupun sepatutnya menjalani kuarantin di rumah, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Individu terbabit yang berusia 71 tahun dikatakan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 4 Julai lalu dan sepatutnya menjalani kuarantin selama 14 hari.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, Sinar Harian melaporkan keputusan saringan pertama menunjukkan wanita terbabit negatif tetapi tetap dipakaikan gelang sebagai tanda perlu menjalani kuarantin di rumah.

"Kejadian (makan di restoran) itu pula berlaku di sebuah kafe pada 6 Julai lalu bersama keluarganya setelah tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya, manakala gambar itu baru sahaja tular kelmarin," katanya.

Sumber itu memberitahu, wanita berkenaan dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu apabila saringan kedua - yang dibuat selepas 13 hari - menunjukkan dia positif Covid-19.

Kata sumber itu, turut dirawat ialah anak lelaki wanita berkenaan.

"Berdasarkan penjelasan daripada pihak kesihatan, volume (kandungan) virus adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang," katanya.

Perniagaan sedikit terjejas

Sementara itu dalam laporan berkaitan Sinar Harian juga melaporkan restoran terbabit mengambil inisiatif untuk menjalankan proses nyah kuman.

Pemilik restoran itu berkata, mereka meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak untuk melakukan sanitasi di seluruh ruang premis berkenaan sebagai langkah keselamatan.

“Restoran kami beroperasi antara jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan merekod nama dan mengambil bacaan suhu badan.

“Berkaitan wanita itu, kami tidak menyedari langsung kerana dia memakai baju lengan panjang sehinggalah gambarnya tersebar kelmarin,” katanya.

Menurut lelaki terbabit, perniagaan kedainya sedikit terjejas sejak dua hari lalu apabila gambar wanita terbabit tersebar dengan meluas.

"Kami pun faham mesti ada pelanggan yang berasa takut dengan keadaan itu.

“Restoran kami mempunyai 20 peniaga dan pekerja bercadang untuk menjalani saringan.

"Apa-apa pun kami menunggu hasil siasatan daripada pihak Kementerian Kesihatan dan polis,” katanya.