Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Top Glove: Arahan sekatan kastam AS berdasarkan 'dakwaan lama'

Kebanyakan faktor yang menyebabkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) mengenakan arahan sekatan terhadap Top Glove adalah dakwaan lama yang telah ditangani syarikat, kata pengarah urusannya Lee Kim Meow.

Bercakap dengan pemberita selepas mesyuarat pemain industri bersama Menteri Sumber Manusia M Saravanan di Putrajaya hari ini, Lee menegaskan perbincangan dengan CBP bagi pembatalan sekatan itu berjalan dengan baik.

"Kami berjaya berhubung dengan CPB dan menjelaskan bahawa sebahagian (dakwaan) berkenaan penahanan pasport, waktu kerja lebih masa yang keterlaluan dan hari cuti sebenarnya cerita lama.

"Sejak itu banyak usaha dijalankan untuk mengendalikan isu-isu tersebut," katanya sambil menambah satu isu yang masih belum diselesaikan adalah pembayaran yuran pengambilan yang telah dibayar pekerja kepada ejen sebelum Januari 2019.

Minggu lalu, CBP menguatkuasakan arahan sekatan terhadap dua subsidiari Top Glove, iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

ABC News Australia semalam memetik jurucakap CBP sebagai berkata, keputusan itu "berdasarkan bukti wajar berhubung amalan buruh paksa dalam proses pembuatan".

"Bukti menunjukkan sejumlah penunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkenaan buruh paksa, termasuk ikatan hutang, kerja lebih masa keterlaluan, penahanan dokumen pengenalan diri, serta keadaan tempat tinggal dan kerja yang teruk," katanya seperti dipetik.

Terdahulu, Top Glove mengesahkan arahan sekatan itu dan berkata pihaknya ingin menyelesaikan perkara itu dalam masa dua minggu dengan menghubungi CBP, pelanggan dan perundingnya.

Sepanjang tahun lalu, Lee bertegas bahasa Top Glove telah lulus sejumlah audit luar berkaitan operasinya, termasuk kunjungan ke tempat tinggal pekerja asing.

"Saya lega mereka beri kami kelulusan yang bagus.Tentulah ada ruang penambahbaikan," katanya.

Dalam pada itu, Lee mendakwa "seorang aktivis dan sebuah NGO" menumpukan aspek terburuk syarikat, terutama ketika permulaan perintah kawalan pergerakan pada Mac lalu apabila Top Glove berdepan kesukaran dalam kaedah operasi baru.

Katanya, pengkritik serta wakil pelbagai kedutaan di mana warganya bekerja di Top Glove dialu-alukan untuk melawat kilangnya dan melihat sendiri keadaan kerja di sana.

Katanya lagi, wakil Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur baru-baru ini melawat empat kilangnya dan tidak menerima sebarang rungutan daripada pekerja Indonesia yang ditemu bual mereka.

Pada masa ini, Top Glove yang merupakan pembuat sarung tangan terbesar dunia memiliki 5,000 pekerja tempatan dan 12,000 pekerja warga asing. Lee berkata usaha sedang dijalankan untuk menambah jumlah pekerja tempatan di kilangnya, susulan pembekuan pengambilan pekerja asing oleh kerajaan.