Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

16 individu dikaitkan dengan IS pulang ke Malaysia

Seramai 16 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan militan Islamic State (IS) di Syria telah pulang ke Malaysia, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ini berdasarkan jawapan di Parlimen kepada soalan anggota parlimen Selayang William Leong yang bertanya Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin tentang bilangan militan IS yang telah pulang ke Malaysia dan langkah kerajaan bagi memastikan mereka tidak melaksanakan aktiviti-aktiviti pengganas atau militan di sini.

“Berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga 30 Jun seramai 16 orang rakyat Malaysia yang berada di Syria telah kembali ke negara ini.

“Jumlah ini adalah merangkumi 12 orang dewasa dan empat orang kanak-kanak,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulisnya.

Tambah kementerian itu, daripada 12 orang dewasa berkenaan, sembilan orang telah pun dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah.

Baki tiga orang lagi, seorang masih dibicarakan di mahkamah, seorang sedang menjalani perintah sekatan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan seorang lagi telah dibebaskan.

“Manakala bagi 4 orang kanak-kanak tersebut, mereka telah diserahkan kepada keluarga,” kata KDN.

KDN berkata polis sentiasa memberikan komitmen penuh dalam menangani ancaman daripada kumpulan pengganas dan akan terus membuat pemantauan berterusan ke atas elemen perkembangan IS atau Daesh di negara ini.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan dibuat sekiranya polis mengesan mana-mana individu yang pulang dari negara bergolak yang juga dikenali sebagai foreign terrorist fighters (FTFs) daripada kembali melakukan aktiviti-aktiviti keganasan.

Ini dilakukan menerusi mekanisme pengumpulan maklumat risikan melalui kerjasama dengan agensi perisikan dan keselamatan asing, meningkatkan kawalan di semua pintu masuk negara dengan penyeneraihitaman individu yang disyaki pengganas.

Tindakan akan turut diambil sekiranya FFT dikesan masuk melalui pintu tidak sah, dan program deradikalisasi atau proses pemulihan khusus turut dilaksanakan untuk FTF yang telah ditangkap.

[Baca berita penuh]