'Kami akan lukis lagi besar jika diberi peluang'
Meskipun kecewa apabila mural gergasi pemimpin negara diconteng, salah seorang pelukisnya Muhammad Suhaimi Ali berkata ia tidak melunturkan semangat mereka untuk terus melukis.
Malah katanya, ia membakar semangat mereka untuk melakar lukisan yang lebih besar jika diberikan peluang.
“Luluh hati bila melihat hasil usaha keras kami menjadi mangsa vandalisme seperti ini. Bagaimanapun mereka yang buat (kerja) ini kena ingat, benda ini tidak akan sama sekali mematahkan semangat kami.
“Malah ia semakin membakar semangat kami untuk terus melukis, kami akan buat (lukis) lagi besar kalau diberikan peluang!,” katanya lapor MalaysiaGazette.
Mural gergasi itu yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai antaranya memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang diconteng menggunakan cat merah.
Mural di Seksyen U12 Shah Alam yang dilukis awal bulan ini merupakan hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27.
Menurutnya, usaha keras mereka dalam menghasilkan mural itu mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan lima potret berkenaan.
Karya mereka yang tular di mesida sosial baru-baru ini turut dikunjungi oleh Noor Hisham sendiri.
Malah Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat melawat mural gergasi mereka baru-baru ini.
Bagaimanapun, Muhammad Suhaimi berkata dia menyerahkan kes tersebut disiasat lebih lanjut oleh pihak berkuasa.
Katanya, meskipun setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza dari segi politik, pihak tersebut tidak boleh menjadikan karya seni seperti mural yang dilukisnya sebagai mangsa keadaan.
“Saya difahamkan ada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut, justeru saya percaya pihak polis akan menyiasat dan mengheret dalang kes ini ke muka pengadilan.
“Boleh sahaja kalau hendak ‘touch up’ kerosakan itu tetapi saya bersetuju agar dinding itu dicat semula dengan cat putih oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Ini kerana kerosakan yang dilakukan benar-benar menjatuhkan maruah Tuanku dan pemimpin-pemimpin lain yang kami paparkan itu,” katanya.
Pada masa sama semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab menconteng mural pemimpin-pemimpin negara tersebut.
Baginda berpandangan tindakan itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab disebabkan politik kebencian.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata pihak polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai