Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Laluan ECRL: Elak implikasi permukaan Central Forest Spine - PSM

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dicadangkan perlu disejajarkan lurus antara Mentakab dan Putrajaya untuk menggantikan pemesongan di sekitar kawasan hutan Central Forest Spine (CFS) melalui Utara (Gombak) atau Selatan (Rembau).

AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj berkata ini akan mengurangkan masa perjalanan dan implikasi negatif di kawasan permukaan CFS.

Bagaimanapun, menurut Raj laluan di permukaan CFS mesti dielakkan dengan membina terowong bawah tanah.

"Meluruskan (laluan) secara berkesan dapat mengurangkan masa perjalanan dan implikasi negatif terhadap permukaan CFS.

"Bertentangan dengan kepercayaan umum, terowong mempunyai kesan paling sedikit di kawasan pergunungan dan ekosistem berbanding laluan di permukaan," kata Sharan (gambar, bawah) pada suatu kenyataan semalam.

Laluan yang dicadangkan Raj melibatkan Seksyen C (Mentakab ke Pelabuhan Klang) pada jajaran laluan ECRL.

Untuk rekod, Central Forest Spine (CFS) ialah kawasan hutan yang diwartakan sebagai koridor ekologi nasional, menjadi tulang belakang Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Malaysia.

Di bawah jajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor melalui Gombak dan menuju ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Kerajaan PH dalam usaha mengurangkan kos sebelum ini telah memutuskan untuk melakukan penjajaran semula ECRL di sepanjang bahagian selatan Lembah Klang dan bukannya di sebelah utaranya.

Bagaimanapun, dilaporkan kerajaan Perikatan Nasional akan mengembalikan jajaran ECRL kepada cadangan asal di bawah kerajaan BN dulu.

"Perselisihan baru-baru ini oleh PN dan Pakatan Harapan untuk menuntut trofi 'ECRL' merosakkan agenda nasional utama iaitu menghubungkan Pantai Timur dan Barat dengan cara yang paling optimum," kata Raj.

Raj berkata dengan meluruskan Seksyen C akan membuktikan ECRL pada masa hadapan boleh ditukar menjadi Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan menaik taraf set landasan kereta api.

"Kos purata satu terowong keretapi adalah sekitar RM250 juta per km dan penjajaran semasa Putrajaya-Rembau merangkumi kos sebuah terowong berkembar 7km.

"Pelurusan laluan akan memerlukan terowong berkembar sejauh 10km bernilai RM5 bilion yang akan diimbangi dengan pengurangan pengambilan tanah, stesen, jejambat, saluran elektrik dan jambatan," katanya.