Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Putra desak Muhyiddin betulkan kenyataan 'iktiraf sebahagian UEC'

Parti Putra menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperbetulkan kenyataan medianya berhubung "pengiktirafan sebahagian" terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata jika tidak dibetulkan kumpulan pendesak Dong Jiao Zong pasti gembira kerana usaha mereka diiktiraf kerajaan.

"Sebahagian daripada apa kalau ianya sekadar satu peratus daripada keseluruhan kemasukan ke institut pendidikan guru Malaysia (IPGM).

"Kerajaan dulu yang telah tumbang sendiri memang selalu silap kira, silap titik perpuluhan dan satu peratus pastinya bukan sebahagian.

"Jika kenyataan media perdana menteri ini tidak di perbetulkan, pastinya Dong Zhong bersorak gembira kerana usaha mereka selama ini telah diakui oleh perdana menteri mendapat 'pengiktirafan sebahagian' kerajaan," katanya katanya dalam satu kenyataan, hari InI.

Jika perdana menteri tidak memperbetulkan semula kenyataan media tersebut, Khairul Azam berkata, Putra akan mengambil tindakan lanjut bersama-sama rakyat.

Terdahulu, sebuat portal berita berbahasa Cina memetik kenyataan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) yang mendakwa Muhyiddin - secara peribadi - juga berharap UEC akhirnya akan diiktiraf kerajaan.

Pertemuan di antara Huazong dan Muhyiddin itu berlangsung pada 16 Julai lalu.

Ada diiktiraf kerajaan terdahulu

Bagaimanapun hari ini Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan Muhyiddin ada mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Menurut PMO dalam pertemuan itu, Muhyiddin hanya menyebut bahawa UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian daripada kerajaan lalu.

"Berhubung isu pengiktirafan UEC yang dibangkitkan dalam pertemuan pimpinan Huazhong bersama perdana menteri pada 16 Julai 2020, ingin dijelaskan bahawa perdana menteri tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf sijil UEC.

"Perdana menteri menyebut bahawa UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian (partial recognition) apabila kerajaan pada masa lalu telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program ijazah sarjana muda perguruan dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di institut pendidikan guru Malaysia (IPGM)," kata kenyataan itu. 

Khairul Azam berkata Putra juga menganggap kenyataan Muhyiddin itu "berbahaya" kerana bercanggah dengan polisi kerajaan.

"Kenyataan rasmi perdana menteri ini adalah berbahaya dalam konteks ianya bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan," katanya.

Tambah Khairul Azam sistem pendidikan kebangsaan, Akta Pendidikan 1996 dan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah memberikan sebarang pengiktirafan terhadap apa-apa sistem peperiksaan asing yang tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan.

"Jika perdana menteri tidak memperbetulkan semula kenyataan media berkenaan, Putra akan mengambil tindakan lanjut bersama-sama rakyat," katanya.

Bagaimanapun Khairul Azam tidak menjelaskan lebih lanjut apakah tindakan bersama rakyat yang dimaksudkannya itu.