Siasatan 11 jam terhadap Syed Saddiq 'penderaan psikologi' - Amanah TBH
Amanah Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi (Amanah TBH) mengkritik siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap anggota parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengambil masa selama 11 jam semalam.
Menyorot semula insiden kematian bekas pembantu Adun Selangor, mendiang Teoh Beng Hock pada 2009, pengerusinya Ng Geoh Chee menyifatkan tindakan itu sebagai 'penderaan psikologi'.
“Kami menegaskan bahawa soal siasat yang tidak perlu dan panjang adalah satu bentuk penyeksaan psikologi kerana menimbulkan tekanan yang luar biasa, membahayakan kesihatan mental seseorang dan memungkinkan penyalahgunaan kuasa ketika dalam tahanan.
“Soal siasat yang panjang melanggar hak setiap orang untuk beristirehat seperti yang dinyatakan dalam artikel 24 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam dilaporkan bahawa bekas menteri belia dan sukan itu meninggalkan bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya jam 9 malam selepas disoal siasat sejak 10 pagi berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 baru-baru ini.
Amanah TBH turut mengkritik tempoh siasatan panjang terhadap anak tiri bekas perdana menteri, Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz yang mengambil masa selama 9 jam pada 2018.
Amanah TBH berkata isu ini berpunca daripada Akta SPRM yang membenarkan suruhanjaya itu menyoal siasat seseorang untuk jangka waktu yang tidak ditentukan.
"Teoh Beng Hock Trust for Democracy mendesak kerajaan meminda artikel itu untuk mengakhiri soal siasat yang tidak perlu dan panjang, menghapuskan segala bentuk penyeksaan psikologi, menghormati hak tahanan untuk berehat dan mencegah tragedi Teoh berulang," kata mereka.
Teoh, yang merupakan pembantu kepada Adun DAP, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas jatuh di tingkat sembilan di pejabat lama SPRM di Shah Alam pada 16 Julai 2009.
Dia ditahan semalaman di pejabat suruhanjaya itu untuk disoal siasat.
Amanah TBH berkata, Akta SPRM harus mematuhi Peraturan Lokap 1953 yang menyatakan tahanan mesti diberi waktu rehat antara jam 6 petang hingga 6 pagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai