Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Iktiraf UEC: Huazong jangan menangguk di air keruh - Armada

Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) jangan menangguk di air keruh dengan mengatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berharap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan diiktiraf suatu hari nanti, kata Exco Pendidikan Pemuda Bersatu (Armada) Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Menurutnya, kenyataan itu adalah dakwaan Huazong dan bukannya datang daripada Muhyiddin sendiri.

"Dari Facebook Muhyiddin, jelas perbincangan dua pihak adalah menyeluruh perihal pembangunan masyarakat Cina...Sebagai perdana menteri, beliau perlu melayan dan mendengar permintaan rakyat yang berbilang kaum.

"(Bagaimanapun) tiada langsung pernyataan dari Muhyiddin yang mahu mengiktiraf UEC secara menyeluruh...(Malah) dapat dibaca secara jelas penolakan halus beliau seperti petikan yang dikongsi Huazong," katanya dalam kenyataan.

Ashraf merujuk kenyataan Huazong berkenaan permintaan Muhyiddin agar semua pihak memahami dasar dan keadaan dalam negara serta harapannya agar isu berkenaan dapat "dikendurkan" dan ditangani secara rasional.

Beliau mengulas kenyataan Huazong yang dikeluarkan selepas pertemuan pihak itu dengan Muhyiddin pada 16 Julai lalu, yang antara lain berkata beliau "secara peribadi" berharap UEC akan diiktiraf suatu hari nanti.

Menurut pertubuhan itu lagi, Muhyiddin juga secara berseloroh menyifatkan isu itu sebagai "mencabar" untuk ditangani tetapi disebabkan ia sudah wujud, kerajaan akan terus mengkaji dan membincangkan cara bagi menguruskannya.

Dalam pada itu, Ashraf juga membangkitkan rekod Muhyiddin sebagai menteri pendidikan yang memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Mentematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

PPSMI yang diperkenalkan Dr Mahathir Mohamad pada 2003 sebelum digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat bermula 2009, di bawah Muhyiddin.

Ia dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Ashraf berkata lagi, Muhyiddin mempunyai rekod baik mempertahankan jati diri negara dan telah beberapa kali mengingatkan UEC perlu diselesaikan dengan baik.

"Maka saya berharap semua pihak faham dan jangan cuba menuba racun yang akan memudaratkan lagi kestabilan negara atas hal-hal kepentingan politik," katanya lagi.