Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Status Sabah, Sarawak sebagai rakan sekutu: Kabinet belum putuskan

PARLIMEN | Kabinet Muhyiddin Yassin belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan Sabah dan Sarawak.

Menjawab soalan dikemukakan di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan secara umum menyasarkan untuk menyelesaikan semakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berdasarkan tiga fasa masa.

Tiga peringkat itu, kata Hanifah, ialah jangka masa pendek iaitu kurang dari setahun, jangka masa sederhana (antara satu hingga dua tahun) dan jangka panjang (lebih tiga tahun).

"Bagaimanapun setakat ini jemaah menteri masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Hanifah memberitahu hal itu melalui jawapan bertulis kepada pertanyaan Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) yang meminta perdana menteri menyatakan sama ada kerajaan akan membentangkan semula pindaan perlembagaan mengenai hal berkenaan.

Pindaan itu dibuat bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu bersama dalam Persekutuan Malaysia.

Soalan yang dikemukakan Liew itu melibatkan kedudukan dua negeri Borneo terbabit sebagai rakan sekutu setara dalam negara dengan mengembalikan peruntukan asal Perkara 1(2) MA63.

Semasa Putrajaya ditadbir Pakatan Harapan (PH) rang undang-undang mengenai hal itu dibentangkan di parlimen pada April tahun lalu namun tidak mendapat undi dua per tiga daripada anggota Dewan Rakyat.

Ia gagal diluluskan apabila PH kekurangan 10 undi untuk mendapatkan majoriti dua per tiga. Antara yang tidak memberikan sokongan kepada rang undang-undang itu ialah anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak sendiri.

Pada Dis 2019 Liew - ketika itu menjadi menteri di JPM - berkata rang undang-undang baru untuk meminda perlembagaan berkaitan MA63 akan dibentangkan sekali lagi pada Mac tahun ini.

Namun rancangan itu tidak kesampaian apabila kerajaan PH dijatuhkan melakui Langkah Sheraton yang kemudian menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional.

Sidang Dewan Rakyat yang dijadual diadakan pada Mac juga ditunda atas faktor keselamatan ekoran ancaman Covid-19.