Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beri peluang sama pada doktor junior lanjut pengajian pakar - MMA

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memberikan peluang yang sama kepada semua pegawai perubatan untuk melanjutkan pengajian pakar di institusi tempatan.

Ini selepas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba baru-baru ini mengatakan terpulang kepada pegawai perubatan (MO) kontrak - yang tidak layak mendapat biasiswa ke program pasca siswazah awam tempatan - untuk membayar sendiri atau memperoleh biasiswa jika mereka ingin melanjutkan pengajian ke peringkat pakar di luar negara. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran khuatir bahawa sikap Adham akan menyebabkan lebih ramai individu berbakat meninggalkan negara ini.

"Sekiranya kita mendorong lebih banyak doktor untuk menjalani latihan di luar, kita akan lihat semakin sedikit akan kembali berkhidmat.

"Penghijrahan golongan profesional berbakat di Malaysia selama bertahun-tahun semakin besar dan sekiranya kita meneruskan kesombongan kita sekarang, kita mungkin akan kehilangan lebih ramai lagi," katanya.

Ini katanya akan menyebabkan kekurangan doktor pakar dan kualiti sistem kesihatan negara menurun.

Ganabaskaran berkata, pada masa ini hanya terdapat sekitar 8,000 pakar di hospital awam dan swasta sedangkan unjuran menunjukkan bahawa seramai 13,000 pakar diperlukan pada tahun 2020.

Beliau juga berkata hanya 51 hospital awam mempunyai doktor pakar.

Pada 2017, Kementerian Kesihatan memiliki 135 hospital awam.

"Perkara ini menjadi kebimbangan nasional kerana tanpa kesinambungan dalam latihan, kita akan melihat kekurangan doktor pakar di masa depan, dan dengan itu, kita tidak mampu terus mempertahankan standard kesihatan yang biasa kita gunakan," katanya kata.

Ganabaskaran berkata kerajaan harus memastikan semua doktor junior mendapat akses yang adil bagi menjalani program latihan tempatan berbanding mendorong MO kontrak melanjutkan pelajaran ke luar negeri dengan perbelanjaan mereka sendiri.

"Demi (sistem) kesihatan negara kita, kita perlu memastikan bahawa peluang yang sama bagi para doktor junior untuk meneruskan latihan mereka dan untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia," katanya.

Di bawah sistem sedia ada, MO kontrak tidak layak menerima Hadiah Latihan Persekutuan iaitu biasiswa penuh oleh Kementerian Kesihatan untuk doktor mengikuti pengkhususan di universiti awam semasa mereka bekerja.

Mereka juga dibayar gaji lebih rendah berbanding MO tetap.

Ketika ditanya mengenai persidangan Dewan Rakyat sekarang ini, Adham menjelaskan dalam jawapan tertulis bahawa MO tetap diberi keutamaan untuk melanjutkan pengajian pengkhususan bagi "memastikan negara ini mempunyai pakar yang mencukupi dan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan pakar".