Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perkeso: 96.7 peratus permohonan subsidi upah telah diluluskan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah meluluskan 96.7 peratus atau 314,844 permohonan bagi Program Subsidi Upah setakat 15 Julai, kata Ketua Eksekutifnya Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata sejak Program Subsidi Upah diperkenalkan pada 1 April lepas sehingga 15 Julai, pihaknya telah menerima 325,506 permohonan daripada majikan yang mewakili 2.66 juta pekerja.

"Kebanyakan aduan majikan yang sampai kepada saya adalah berkenaan bayaran subsidi yang masih belum dikreditkan.

"Sementara aduan lain termasuk terkurang atau terlebih bayaran dan juga rayuan terhadap permohonan yang ditolak," katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam menangani masalah yang dihadapi majikan, beliau berkata Perkeso telah mengambil langkah menubuhkan pasukan petugas untuk menyelesaikan isu permohonan yang ditolak dan mengadakan perbincangan dengan pihak bank mengenai isu ‘Business Registration Number’ (BRN).

-Bernama