Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pembangkang, kerajaan sepakat mahu desak PBB usir Israel

PARLIMEN | Persidangan Kamar Khas Parlimen hari ini sebulat suara bersetuju dengan usul khas dibawa Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai isu Palestin, antara lain menggesa kerajaan bekerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mendesak agar Israel disingkirkan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Usul berkenaan dibawa ekoran pelan damai yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kononnya untuk menyelesaikan konflik di antara Israel dan Palestin.

Syed Ibrahim berkata, ketika usul khas itu dibahaskan, pihaknya mengharapkan agar anggota Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang bersatu menunjukkan kesepakatan dan melontarkan kelantangan melibatkan isu Palestin.

“Israel perlu diusir daripada perhimpunan dan semua agensi PBB memandangkan kegagalan negara itu memenuhi kewajipan dan aku janjinya sebagai anggota PBB seperti yang dinyatakan dalam Piagam PBB.

“Kita juga cadangkan untuk mengadakan petisyen yang ditandatangani semua anggota Parlimen kedua-dua belah pihak sebagai isyarat jelas bantahan Malaysia tentang Israel dan dicadangkan untuk dibawa ke kedutaan Amerika, ahli-ahli parlimen serantau dan negara Asean agar kita dapat sokongan dari negara luar.

Anggota Parlimen juga perlu memanfaatkan jaringan masing-masing di semua peringkat termasuk antarabangsa supaya kita dapat globalisasikan sokongan Palestin dan kita sentiasa menyokong bantahan terhadap Israel,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, hari ini membenarkan usul khas daripada pembangkang yang meminta Dewan Rakyat membincangkan pelan damai Trump untuk konflik Israel-Palestin.

Azhar mengumumkan usul Syed Ibrahim yang dibuat pada 14 Julai itu itu dibenarkan dan dibahaskan di kamar khas pada jam 2.30 petang tadi. Pencadang diberikan masa 30 minit untuk membahaskannya sebelum pihak kerajaan menjawab.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim memberitahu pihaknya menerima respon positif daripada kerajaan yang jelas untuk memperjuangkan isu Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan oleh Israel.

Beliau menambah, isu berkenaan bukan saja mendapat tentangan daripada Malaysia malah turut disuarakan negara lain termasuk Perancis dan Kesatuan Eropah.

“Jadi, ini merupakan penekanan yang meluas, cuma mereka (sekutu Israel) melihat dan masih berharap kepada AS untuk menjayakan penentangan tersebut.

"Timbalan Menteri Luar, Kamaruddin Jaffar telah menerangkan tindakan kerajaan Malaysia seperti mengeluarkan kenyataan dan berbincang dengan Presiden Turki.

“Ada cadangan untuk mewujudkan kedutaan khas di Aman, Jordan namun perkara itu masih dalam peringkat cadangan dan sedang dibawa ke pihak Jordan untuk mendapatkan kelulusan daripada mereka,” katanya.