‘Sekolah perlu sedia pelitup muka, cecair sanitasi tangan’
Sekolah bertanggungjawab menyediakan kelengkapan perlindungan diri seperti pelitup separuh muka dan cecair pensanitasi tangan untuk kegunaan pelajar dan guru, bukan dibeli oleh guru menggunakan wang sendiri.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah menyalurkan peruntukan kepada setiap sekolah bagi tujuan pembelian kelengkapan itu.
“Apabila kita minta sekolah untuk sediakan cecair pensanitasi tangan, buat saringan suhu dan sebagainya, ini perlu disediakan oleh sekolah, bukan guru yang menyediakan secara persendirian.
“Saya harap sekolah berkaitan dapat menyediakan (kelengkapan itu) untuk guru dan pelajar bukan sahaja ketika mereka masuk sekolah tetapi juga di dalam kawasan sekolah seperti di kantin,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang mendedahkan terdapat guru-guru yang mengeluarkan wang sendiri untuk menyediakan kelengkapan perlindungan diri bagi kegunaan pelajar.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai