Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Saya lebih galakkan makan vitamin E minyak sawit'

  • Nota editor: Tajuk berita telah diubah agar lebih menggambarkan kandungan dengan lebih tepat.

PARLIMEN | Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali menggalakkan rakyat Malaysia mengambil makanan tambahan vitamin E daripada minyak kelapa sawit.

Beliau berkata demikian selepas Salim Sharif (BN-Jempol) menyindir kempen sesudu minyak sawit merah oleh bekas menteri Teresa Kok.

“Yang digalakkan sesudu minyak sawit merah. Tapi yang lebih digalakkan (ialah) vitamin E dari minyak sawit, (a-)tocotrienol.

“Ini patut diambil oleh rakyat Malaysia. Saya ada edar secara percuma kepada semua ahli parlimen ini untuk kesihatan,” kata Khairuddin di Dewan Rakyat.

BN dan PAS sebelum ini memperlekeh Kok kerana kempen sesudu minyak sawit merahnya.

Bagaimanapun, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada minggu lalu menegaskan amalan meminum minyak sawit merah memang digalakkan kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi.

Sementara itu, Kok (PH- Seputeh) terlebih dahulu mempersoalkan sama ada sasaran kerajaan untuk eksport minyak sawit antara RM65 ke RM75 juta sesuatu yang boleh dicapai, sekiranya pengambilan pekerja asing disekat.

Katanya, rakyat Malaysia tidak berminat bekerja sebagai buruh di ladang-ladang kelapa sawit tanpa mengira gaji yang ditawarkan.

Khairuddin, bagaimanapun, menyifatkan kenyataan Kok itu sebagai berfikiran negatif.