Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tubuh JK siasatan tangani isu penyelewengan, pembaziran - Ketua audit negara

Pegawai pengawal dan ketua jabatan setiap kementerian, jabatan serta agensi kerajaan disaran menubuhkan Jawatankuasa Siasatan bagi menangani isu yang mempunyai unsur penyelewengan, pembaziran dan pemborosan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3, tindakan tatatertib atau surcaj perlu diambil terhadap pegawai yang terbukti cuai atau gagal melaksanakan tanggungjawab tanpa sebab munasabah sehingga kerajaan menanggung kerugian.

“Sebagai bukti komitmen yang tinggi, pegawai pengawal atau ketua jabatan hendaklah mengambil tindakan segera terhadap teguran Ketua Audit Negara.

“Laporan tindakan dan dokumen sokongan berkaitan hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Susulan Audit, Jabatan Audit Negara bagi membolehkan segala status tindakan dikemaskinikan ke dalam Auditor General’s Dashboard di http:agdashboard.audit.gov.my,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu menyatakan pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan perlu diperkasa bagi memastikan sebarang program dan aktiviti dilaksana dengan cekap, ekonomi serta mencapai objektif.

“Walaupun mempunyai perancangan yang baik, masih terdapat kelemahan dari segi pelaksanaan yang perlu ditangani bagi mengelak pembaziran sekali gus kegagalan mencapai impak yang diharapkan,” katanya.

Laporan itu juga menyebut ketiadaan penyelarasan antara agensi yang berkenaan serta masalah dalaman kontraktor turut menyumbang kepada kelemahan pelaksanaan sehingga menyebabkan program tidak disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan serta peningkatan kos.

Sehubungan itu, laporan tersebut mengesyorkan agar kajian terperinci terhadap cadangan projek dijalankan terlebih dahulu sebelum ia diluluskan dengan mengemukakan maklumat lengkap seperti peruntukan tahunan dan jadual pelaksanaan projek kepada jabatan teknikal.

“Perancangan bersepadu dan penyelarasan antara jabatan dan agensi terlibat perlu dilakukan terutama bagi projek yang besar dan aktiviti yang melibatkan kepentingan serta keselamatan negara.

“Contohnya aktiviti kawalan sempadan darat dan maritim adalah penting untuk menjaga keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa kementerian dan jabatan perlu mematuhi Panduan Pelaksanaan Pengurusan Nilai dalam program atau projek kerajaan yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi bagi projek bernilai lebih RM50 juta.

Selain itu, pegawai pengawal atau ketua jabatan perlu mahir dalam prosedur perolehan dan memberi latihan secukupnya kepada pegawai yang terlibat dalam pengurusan perolehan.

“Pegawai pengawal dan ketua jabatan perlu mempertingkatkan pengurusan aset kerajaan untuk mengelak pembaziran serta memandang serius tugas penyenggaraan, pemantauan dan penyeliaan.

“Rekod mengenai aset perlu sentiasa dikemas kini sebagai persiapan kerajaan persekutuan ke arah pelaksanaan perakaunan akruan,” menurut laporan itu.

- Bernama