Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan tolak permohonan ekspatriat mahu bercuti ke luar negara

Kerajaan telah menolak permohonan ekspatriat yang memegang Pas Pekerja (kategori 1) untuk bercuti ke luar negara ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menerima permohonan untuk percutian luar negara, termasuk daripada ekspatriat, tetapi tidak memberikan kelulusan.

"Kalau mereka (tetap) ingin bercuti, kita tak akan benarkan mereka kembali ke negara (sepanjang PKPP)," katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ismail menggesa 255 individu yang dikenakan kuarantin di rumah untuk tampil membuat ujian saringan kedua Covid-19 selepas mereka gagal berbuat demikian pada hari ke-13 kuarantin.

"Mungkin mereka tak sedar tarikh mereka patut pergi ke klinik. Segeralah hubungi pejabat kesihatan, jika masih berdegil polis akan cari mereka," katanya sambil menambah polis tahu lokasi mereka dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan kompaun RM1,000 atau dibawa ke mahkamah.

Berkenaan warga Malaysia yang kembali dari luar negara, Ismail berkata banyak syarikat penerbangan memerlukan penumpang untuk menunjukkan bukti mereka disahkan negatif Covid-19.

"Oleh itu, kita memutuskan bahawa setiap warga yang ingin pulang ke negara melalui penerbangan perlu buat ujian saringan tiga hari sebelum tarikh penerbangan," katanya.

Beliau menggesa orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti membersihkan tangan dan mengamalkan penjarakan sosial.

Beliau menjadikan Hong Kong sebagai peringatan apabila termaksa menguatkuasakan semula kawalan pegerakan, misalnya menutup sekolah dan menghentikan sementara sejumlah kegiatan ekonomi, susulan peningkatan kes wabak tersebut.