Azeez mohon maaf selepas diarah speaker
PARLIMEN | Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahman diarah menarik balik kata-katanya yang menyinggung dan memohon maaf kepada Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) semalam kerana berkata “gelap, tak nampak.”
Permohonan maaf itu dibuat atas arahan dari Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini.
“Mengenai perkataan YB Baling semalam yang bersangkutan gelap dan pakai bedak, saya telah meneliti handsard mengenai kejadian tersebut dan saya ambil keputusan perkataan-perkataan tersebut agak offensive (menyinggung perasaan) dan saya arahkan Baling mohon maaf dan tarik balik perkataan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun sebelum berbuat demikian Abdul Azeez berkata beliau tidak ada niat untuk memanggil sesiapa gelap.
Malah dia mendakwa pencahayaan di tempat duduk Kasthuri semalam tidak begitu baik.
“Dua tahun saya duduk di tempat yang sama di situ, sememangnya kawasan tu gelap dan tak dapat perhatian speaker - maksud saya kawasan tu.
“Saya nak bagitahu netizen luar sana saya tak ada niat nak panggil sesiapa gelap sebab diri saya sendiri pun Allah dah takdirkan saya gelap. Dengan ini saya tarik balik dan memohon maaf,” katanya.
Bagaimanapun, Kasthuri bangun dari tempatnya dan tidak menerima alasan yang diberikan oleh Abdul Azeez tersebut.
Beliau mempersoalkan sekiranya memang Azeez merujuk kepada kedudukan pencahayaan di kawasan tempat duduknya, tiada sebab untuk bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji itu memintanya memakai bedak.
“Pada pandangan saya, dan ahli parlimen di sini walaupu apa pun alasan diberikan Baling (Abdul Azeez), tak perlu disebut, dikeluarkan, sebab niat tu bukan semata-mata (merujuk kepada) tempat ni gelap dan kurang pencahayaan dan sebagainya.
“Kenapa perlu bangkitkan isu pakailah bedak? Komen itu sangat seksis,” katanya smabil menyifatkan Abdul Azeez sebagai pernah melakukan perkara sama berulang-ulang kali.
Azhar kemudian berjanji untuk mengambil tindakan tegas jika kejadian sama berulang.
Semalam, ketika insiden tersebut, Kasthuri sedang mempersoalkan berkenaan kekurangan anggota parlimen wanita yang diusulkan bagi menggantikan anggota jawatankuasa pemilihan parlimen.
Beliau pada awalnya dilihat tidak perasan dengan kenyataan itu dan terus berbahas sehinggalah RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun dan meminta Abdul Azeez menarik balik kata-katanya.
Ini menyebabkan Azeez bangun dan berkata “Saya juga gelap, takkan gelap nak jadi isu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai