Kes keganasan rumah tangga di S'gor meningkat ketika PKP
DUN SELANGOR | Selangor merekodkan 90 kes keganasan rumah tangga sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lepas.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan rekod tersebut, kes keganasan rumah tangga meningkat pada Mac hingga April berbanding tempoh sebelumnya.
“Kawasan Kota Anggerik mencatatkan kes tertinggi iaitu 10 kes, diikuti Bukit Gasing (tujuh) dan Bukit Lanjan (empat).
“Jumlah panggilan talian khas bantuan keganasan yang kita jalankan dengan kerjasama Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) juga dilihat meningkat apabila rekod bulan Mac menunjukkan 361 panggilan dan April (898) berbanding pada Januari (266) dan Februari (250),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Dr Siti Mariah (Amanah-Seri Serdang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan) berhubung kes keganasan rumah tangga di negeri itu.
Dalam pada itu, Dr Siti Mariah turut mengingatkan golongan wanita di Selangor supaya mengetahui hak masing-masing dan mendapatkan bantuan sekiranya terus dikasari pasangan mereka.
Persidangan DUN bersambung esok.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai