Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KPM tak lapor polis setelah Jepak ubah perjanjian projek solar

KES ROSMAH | Mahkamah hari ini diberitahu bahawa Kementerian Pendidikan tidak memfailkan laporan polis setelah mendapat tahu bahawa sebuah syarikat telah mengubah kontrak kerajaan bagi projek pemasangan dan pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah.

Bekas ketua setiausaha kementerian, Alias ​​Ahmad memberitahu perkara ini kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika dioal balas oleh pihak pembelaan dalam perbicaraan berkaitan tuduhan rasuah terhadap Rosmah Mansor.

Peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader berkata, seorang jurutera Jabatan Kerja Raya mendapat tahu bahawa kontrak solar membabitkan Jepak Holdings, mengandungi beberapa perubahan.

Perubahan itu antara lain merangkumi skop kerja, syarat kontrak untuk reka bentuk dan pembinaan, serta peruntukan khas penyelenggaraan.

Akberdin berkata, dua surat telah dihantar oleh Kementerian Pendidikan kepada Jepak Holdings yang menuntut penjelasan pada September 2017 dan Jan 2018.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang telah diambil, Alias ​​berkata beberapa mesyuarat telah diadakan pada 14 Mac 2018 oleh menteri pendidikan Mahdzir Khalid.

Alias ​​berkata dalam mesyuarat pada hari itu, pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin mengakui terdapat perubahan, tetapi menyalahkannya kepada seorang kakitangan.

Kementerian Pendidikan akhirnya memutuskan tiga langkah yang harus diambil, termasuk siasatan dalaman, meminda kontrak berkenaan dan membuat laporan polis.

Bagaimanapun Alias berkata sehingga beliau bersara pada 22 Mei 2018, tiada satu pun tindakan diambil.

Ketika ditanya mengapa laporan polis tidak dibuat, beliau berkata ia mungkin kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti perkara itu.

Akberdin bagaimanapun berpendapat laporan polis tidak dibuat Alias ​​dan Mahdzir kerana bersekongkol dengan Saidi, namun tuduhan itu disangkal Alias.

Akberdin: Datuk dan menteri pendidikan (Mahdzir), bersekongkol dengan Jepak, thats why you let them go tak dengar nasihat penasihat undang-undang, senior federal counsel (peguam kanan persekutuan). I put to you, datuk dan menteri bersekongkol dengan Jepak dan tak ambil apa-apa tindakan terhadap Jepak.

Alias: Tak setuju

Peguam bela kemudian cuba membuktikan bahawa Alias ​​dan Saidi mempunyai hubungan peribadi.

Beliau menunjukkan dua gambar Alias ​​dan Saidi pada satu majlis perkahwinan.

Akberdin mengatakan majlis itu merupakan majlis perkahwinan anak Saidi.

Namun, Alias ​​membetulkannya dan mengatakan ia merupakan majlis perkahwinan anaknya yang dihadiri Saidi.

Beliau juga berkata Saidi tidak diundang ke majlis itu, tetapi datang bersama dengan Mahdzir.

Terdahulu, Alias memberitahu mahkamah pada Mac lalu bahawa beliau tidak mengenali Saidi.

Rosmah menghadapi tiga tuduhan berkaitan dengan dakwaan penyelewengan dana untuk pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd melalui rundingan langsung.

Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan di mahkamah setelah ditangguhkan akibat wabak Covid-19.