Sidang penuh parlimen sejak PN ambil alih bermula
Persidangan Dewan Rakyat hari ini merupakan persidangan penuh pertama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pusat pada Mac susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan wakil-wakil rakyat dari PH meninggalkan gabungan mereka dan beralih sokongan.
Sidang pagi ini akan bermula dengan sesi soal jawab, yang mana ahli parlimen boleh bertanyakan soalan kepada kementerian kerajaan untuk mendapatkan penjelasan dan malum balas.
Sesi ini dijangka berlangsung sehingga jam 11.30 pagi selepas aturan mesyuarat Dewan Rakyat bermula.
Sejumlah usul daripada kerajaan dan pembangkang telah diajukan ke Dewan Rakyat untuk menentukan sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti atau tidak.
Usul utama yang antara terawal akan dibentangkan hari ini adalah usul Muhyiddin untuk menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai speaker dan timbalan speaker.
Kedua-dua jawatan itu dilantik ketika pemerintahan PH.
Bagaimanapun, usul untuk menentukan nasib Mohamad Ariff dan Nga juga dapat memberi gambaran nasib Muhyiddin, kerana ia dilihat sebagai kayu ukur sokongan terhadap perdana menteri itu.
Sekiranya Muhyiddin gagal mendapatkan sokongan yang cukup dari ahli parlimen hari ini untuk menyingkirkan Mohamad Ariff dan Nga, ia sekali gus menggambarkan beliau masih belum mempunyai sokongan yang cukup di Dewan Rakyat.
Sebaliknya, jika Muhyiddin berjaya mendapatkan sokongan yang cukup untuk usul itu, beliau akan berada di landasan yang lebih kukuh untuk mempertahankan jawatan perdana menteri.
Kerajaan PN juga berhasrat mencalonkan bekas pengerusi SPR Azhar Azizan Harun sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru, manakala MP Pengerang Azalina Othman pula sebagai timbalan speaker.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai