Golongan muda sebagai katalis politik
ULASAN | Beberapa rencana saya sebelum ini telah menyentuh hal politik dari perspektif Pakatan Harapan (PH), mungkin ada di kalangan rakan-rakan dari PH merasa kurang selesa kerana saya seolah-olah mengkritik parti atau pimpinan, tetapi kali ini saya akan menyentuh mengenai Perikatan Nasional (PN).
PN ini tertubuh atas gerakan politik satu kumpulan yang mahu mengambil alih kuasa dan pada masa yang sama, kumpulan ini adalah mereka yang menolak dan membenci Anwar Ibrahim dan DAP, itu sahaja.
Cita-cita kumpulan ini tidak berdasarkan naratif perjuangan membela nasib rakyat. Sebaliknya PH hatta Umno itu sekalipun, ada naratif perjuangannya. Sejarah telah merakamkan semua detik-detik perjuangan mereka pada zaman-zaman itu.
Dari sisi lain, PN tidak muncul dari perjuangan rakyat baik dari jalan raya atau kampung-kampung seperti Tunku Abdul Rahman yang bersusah payah mengutip derma dari rakyat untuk ke London bagi mendapatkan kemerdekaan. PN tiada naratif ini, dan inilah kelompongannya.
Dan supaya kita tidak lekas lupa bahawa perjuangan menjatuhkan kerajaan kleptokrat sebelum ini, bukanlah perjuangan untuk menjatuhkan Najib Tun Razak dan sekutunya semata-mata, sebaliknya perjuangan itu adalah untuk menjatuhkan satu daulah yang mana Umno adalah paksi yang telah merosakkan sistem dan integriti sistem sebuah negara.
Hari ini, PN boleh dianggap sebagai sebuah kewujudan yang bersifat ‘artifical’ ke atas rakyat hingga mereka yang mendukung Najib dan kerajaan kleptokrat suatu masa dulu, kini menjadi rakan kongsi oleh mereka yang pernah menentang kerajaan kleptokrat.
Saya ada bercakap sendiri dengan beberapa rakan-rakan yang muda Bersatu di luar sana, mereka sependapat bahawa mereka tidak gemar bekerjasama dengan Umno, bukan hanya kerana legasi Najib sebaliknya kerana budaya korupsi Umno inilah yang membawa mereka keluar dan menubuhkan Bersatu pada asalnya.
Ini memberi gambaran bahawa, pimpinan di atas sebelum ini rupa-rupanya hanya menolak Najib dan sekutunya, bukan Umno.
Kerajaan ‘artificial’ ini tidak kukuh dari segi struktur dan idealismenya. PN perlukan mandat baharu bagi mengukuhkan naratif politik mereka jika mahu kekal relevan.
Sayangnya, defisit politik PN ini belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh PH yang masih tersangkut dengan isu-isu lama.
Di sinilah mengapa saya mengajukan pandangan bahawa peranan politikus muda menjadi amat penting bagi PH malah rakyat Malaysia amnya. Saya tidak mengatakan bahawa pemimpin muda ini dijamin lebih baik daripada tokoh veteran, sebaliknya pemimpin muda lebih mudah dibentuk atau dilentur.
Ini tidak ada pada politikus veteran yang menjadi simbol status quo baik dalam parti, malah dalam kerja melaksanakan agenda reformasi ekonomi, sosial, pendidikan, sains dan kebudayaan.
Dari aspek demografi juga kita boleh lihat bahawa pengundi di kalangan muda atau generasi 70,80 dan 90an lebih signifikan jumlahnya berbanding generasi yang lain.
Dalam sistem demokrasi, jumlah bukan sahaja soal kuantiti tetapi kuantiti kumpulan itu juga perlu bersandarkan kepada mereka yang aktif atau terdedah dalam amalan demokrasi baik secara langsung mahupun tidak langsung.
Kuantiti hanya akan menjadi lebih signifikan apabila kualiti (penyertaan) di dalam ruang demokrasi baik menerusi media sosial dan ekonomi itu aktif.
Inilah ciri-ciri generasi muda zaman ini yang boleh dimanfaatkan sebagai katalis yang akan melakar naratif baharu masa depan negara.
MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis dan anggota jawatankuasa DAP Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai