Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DAP Perak nafi pelawa Paul Yong sertai semula parti itu

DAP Perak tidak pernah mempelawa Adun Tronoh, Paul Yong Choo Keong untuk kembali menyertai parti itu, kata setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh.

Beliau berkata demikian selepas Paul Yong mendakwa menerima tawaran sedemikian.

“DAP tidak pernah membuat tawaran kepada Yong untuk kembali kepada parti.

"Tindakan Yong dan (Adun Buntong) A Sivasubramaniam yang menyatakan sokongan mereka terhadap pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertentangan dengan pilihan rakyat dan itu adalah pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan.

"DAP Perak tidak akan bekerjasama dengan atau menerima sesiapa yang telah kehilangan prinsip demi kepentingan diri," kata Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, DAP Perak telah melantik timbalan pengerusinya, V Sivakumar dan ketua Pemuda DAP Perak (Dapsy) Chaw Kam Foon untuk mengambil alih tugas menjaga kawasan Buntong dan Tronoh.

Parti itu akan meneruskan usaha mereka untuk memberikan khidmat kepada rakyat di daerah-daerah tersebut, kata Wong.

Untuk rekod, Yong sebelum ini menghadapi tuduhan merogol seorang pembantu rumah.

Semalam, Yong mendakwa DAP telah mendekatinya untuk menyertai semula parti itu.

Dia juga mendakwa bahawa parti-parti politik lain, kecuali Umno, PAS dan MIC juga ada mendekatinya.

Yong adalah bekas bendahari DAP Perak dan juga exco negeri di bawah kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Yong dan Sivasubramaniam mengumumkan keluar dari DAP untuk menyokong PN pada 9 Mac lalu. 

Sivasubramaniam kemudian menyertai Gerakan, yang kini menjadi sebuah parti mesra PN.