MTUC minta kerajaan teliti semula paras gaji minimum
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan meneliti semula paras gaji minimum di negara ini selaras dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK) baru yang diumumkan semalam.
“Berdasasarkan penetapan PGK baru kepada RM2,208, kerajaan kini perlu mengakui bahawa gaji minimum sebanyak RM1,100 hingga RM1,200 - khususnya di kawasan bandar - tidak lagi realistik atau sejajar dengan kos sara hidup.
"Oleh kerana garis kemiskinan kini ditetapkan kepada lebih RM2,000, sudah pasti gaji minimum juga perlu diselaraskan dengan sewajarnya," kata Setiausaha Agung MTUC J Solomon dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Solomon penetapan garis kemiskinan baru itu perlu disertakan dengan sumber-sumber bagi menikmati kehidupan sihat, aktif dan bermakna.
Justeru katanya MTUC menggesa kerajaan untuk meneliti semula paras gaji minimum dan menyelaraskannya dengan gaji kehidupan wajar yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Solomon berkata demikian sebagai mengulas pengumuman kerajaan semalam bahawa PGK negara telah disemak semula, daripada RM980 menjadi RM2,208.
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin semalam membentangkan penemuan Survei dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2019 yang antara lain memaparkan statistik kemiskinan.
Kaji selidik tersebut dijalankan dua kali bagi setiap lima tahun. Kali terakhir ia dilaksanakan pada 2016.
Pandang serius pandangan wakil PBB
Mengulas lanjut, Solomon berkata meskipun keputusan menyemak itu suatu langkah berani, MTUC yakin kerajaan bersetuju bahawa PGK baru itu boleh dipertingkatkan lagi
Hal itu kerana, katanya, ia menjadi penanda aras bagi sebuah keluarga empat beranak untuk hidup secara aktif dan sihat.
"Penambahbaikan ini juga bagi menampung peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar yang menjadi tempat bagi 75 peratus rakyat negara ini bekerja.
"Kebanyakannya mereka bergaji rendah dan dibebani hutang isi rumah yang tinggi akibat kos sara hidup melambung," katanya.
Jelas Solomon, BNM menganggarkan ada sehingga 27 peratus isi rumah di Kuala Lumpur yang memperoleh pendapatan bawah gaji kehidupan wajar, iaitu paras pendapatan yang diperlukan bagi menikmati kehidupan minimum.
"Angka PGK sebanyak RM2,208 itu kurang daripada gaji bulanan RM2,700 yang disaran MTUC untuk diambil kira dan diperbetulkan oleh kerajaan sebagai had minimum gaji wajar khususnya di kawasan bandar," katanya.
Solomon juga menyifatkan semakan semula PGK menunjukkan kerajaan memandang serius hasil penyelidikan bekas pelapor Khas PBB berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston sebelum ini.
Solomon berkata MTUC gembira Putrajaya mengakui kadar kemiskinan 0.4 peratus yang diuar-uarkan sebelum ini adalah berdasarkan kaedah pengiraan lapuk yang gagal menggambarkan bagaimana seriusnya masalah itu.
"Ini juga bermakna sekurang-kurangnya bagi tempoh empat tahun lepas, Putrajaya gagal menangani keperluan berjuta-juta rakyat yang hidup di bawah garis kemiskinan tetapi tidak diiktiraf sebagai miskin hanya kerana kaedah lapuk yang digunakan bagi pengumpulan data," katanya.
Tambah Solomon walaupun kadar kemiskinan turun daripada 7.6 peratus 2016 kepada 5.6 peratus tahun lepas berdasarkan PGK baru itu ia dijangka semakin teruk pada bulan-bulan akan datang berikutan ratusan ribu pekerja diberhentikan atau dipaksa menerima potongan gaji keterlaluan.
“Sehubungan itu, MTUC berharap dengan adanya PGK baru ini akan dapat menghasilkan dasar-dasar berkesan yang dapat mewujudkan pekerjaan serta membolehkan pekerja menerima gaji atau upah serta kemudahan lebih baik, serta meningkatkan jumlah simpanan KWSP sebagai persiapan untuk bersara.
"Mereka yang masih dibelenggu kemiskinan adalah daripada kumpulan pekerja B40 dan M40 yang mana gaji mereka telah sekian lama tepu dan tidak mampu menampung kos sara hidup yang tinggi, sekali gus memaksa mereka menanggung hutang isi rumah yang tinggi. Inilah faktor yang telah melonjakkan kemiskinan bandar di Malaysia," katanya.
Tambah Solomon pihaknya juga bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, bahawa bahawa hanya dengan menggunakan statistik tepat, kerajaan dapat merangka strategi dan dasar yang tepat, terutamanya dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan.
"MTUC menggesa kementerian dan agensi relevan untuk memberi keutamaan terhadap gesaan Mustapa bahawa pihak berkenaan perlu mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai