Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Reformasi dah habis? 'Tak pernah terkubur,' jawab Badrulamin

Seorang veteran Reformasi hari ini menafikan dakwaan bahawa gerakan itu kini sudah "mati" sebaliknya tetap ada cuma dalam bentuk yang berbeza.

“Reformasi tidak pernah terkubur... tidak pernah," kata Dr Badrulamin Bahron di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika mengulas isu itu, pengerusi Pro98 Reformis terbabit menggunakan analogi tersendiri iaitu proses meneroka kebun.

Kata tokoh yang turut dikenali sebagai pendakwah dan penceramah itu, Reformasi tetap ada manakala penggerakkan diibaratkan sebagai meneroka kebun.

Mereka katanya melakukan tugas itu dengan parang, cangkul dan kapak suatu ketika dulu, manakala kini kebun berkenaan sudah sudah lebat dengan buah-buahan.

Jika dulu reformis turun ke jalan raya, katanya, kini perjuangan itu diteruskan menerusi media sosial seperti kumpulan WhatsApp, Facebook dan blog.

Memandangkan Pakatan Harapan (PH) dan PKR kembali menjadi pembangkang, Badrulamin berkata mungkin kini masa yang sesuai untuk kembali menggerakakn rakyat dan menghidupkan semula semangat reformasi.

Sidang media mengenai penubuhan GRM di Petaling Jaya hari ini

“Mungkin inilah eranya. Apabila kita telah menjadi pembangkang semula. Berada di atas tak sama dengan berada di bawah.

“Tayar di atas kurang pressure (tekanan). Tayar di bawah lebih pressure. Sekarang kita berada di bawah, dan tekanan kuat, dan saya yakin pejuang-pejuang reformasi ini tak pernah gentar tak pernah luntur.

“Lagi tekan, lagi kita akan lawan, insya-Allah!” tegasnya dalam sidang media Gabungan Reformis Malaysia (GRM) di Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu pengerusi Pro98 Reformis itu diminta mengulas pandangan seorang hadirin yang berpendapat gerakan Reformasi sudah tidak lagi wujud ketika ini.

“Reformasi dah hilang, dah habis!” luah pemuda berkenaan.

Tetap menyala selagi bernyawa

Katanya lagi reformasi dalam PKR berakhir apabila golongan “lahanat kartel” dibiarkan subur dalam parti, manakala perubahan yang dijanjikan tidak dilaksanakan sepanjang 22 bulan pemerintahan PH.

“Anak muda sekarang dah tak tahu apa itu reformasi,” kata pemuda itu lagi.

GRM merupakan gabungan yang baru dibentuk beberapa hari lalu. Ia menggabungkan 10 NGO, iaitu Persatuan Rapat Rakyat (Rapat), Pro98 Reformis, Otai Reformis, Jingga 13 Malaysia, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia (Pahlawan), Gerakan Reformasi Veteran ATM, Persatuan Media Sosial Malaysia (Permassa), Gerak Aktif Sosioekonomi Amal Kebajikan (Gasak), dan Pertubuhan Gerakan Pejaung Negara Malaysia (GMPN).

Kebanyakan NGO berkenaan memang dikenali sebagai pertubuhan penyokong tegar Anwar Ibrahim dan mendukung desakan agar presiden PKR itu dilantik sebagai perdana menteri.

Timbalan Pengerusi Otai Reformis 98, Mustapa Mansor, turut bersetuju dengan Badrulamin.

Merujuk anologi diberikan, kata Mustapa, dalam “kebun yang banyak berbuah” itu, memang ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

“Siapakah mereka? Mereka ini adalah elit politik yang bukan berfikir untuk rakyat, mereka fikir bagaimana untuk berkuasa.

“Reformis tidak mati. Reformasi juga tidak mati. Reformasi tetap menyala, selagi reformis masih bernyawa,” katanya.