Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas wakil PBB puji kerajaan kemas kini garis kemiskinan

Bekas pelapor Khas PBB berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston memuji kerajaan Malaysia kerana menyemak semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), untuk memberi gambaran lebih tepat mengenai kadar kemiskinan di negara ini.

Alston berkata demikian ketika merujuk pengumuman kerajaan semalam bahawa PGK negara telah disemak semula dari RM980 menjadi RM2,208.

"Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berani untuk membawa garis kemiskinan lebih dekat dengan realiti.

"Garis yang diumumkan hari ini (semalam) lebih dari dua kali ganda daripada sebelumnya dan menghasilkan kadar kemiskinan rasmi 14 kali lebih tinggi daripada yang diakui sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, PGK yang ditetapkan pada 2005 dikira berdasarkan metodologi yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980, berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semakan PGK itu berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata insiden kemiskinan mutlak bertambah baik daripada 7.6 peratus pada 2016 kepada 5.6 peratus pada 2019 dan kemiskinan tegar adalah 0.4 peratus pada 2019 berbanding 0.6 peratus pada 2016.

Bagi Alston, cabaran pada masa ini adalah untuk mengatasi kemiskinan secara sistemaik dengan menerapkan skim perlindungan sosial yang komprehensif serta ketelusan data yang lebih baik.

"Menyelaraskan garis kemiskinan adalah langkah pertama yang penting.

"Kerajaan juga perlu memandang serius nasib jutaan bukan warganegara yang secara tidak proporsional mempengaruhi kadar kemiskinan dan terkeluar dari perangkaan rasmi, orang asli yang menghadapi diskriminasi dan pelanggaran hak, dan golongan wanita yang memiliki kadar penyertaan dalam pasaran kerja yang sangat rendah," katanya lagi.

'Belum cukup realistik'

Bagaimanapun, Alston berkata kadar kemiskinan mutlak 5.6 peratus berdasarkan garis kemiskinan yang dikemas kini masih terlalu rendah dan berharap garis kemiskinan akan terus ditingkatkan di masa depan.

"Oleh kerana kadar kemiskinan baru 5.6 peratus hanya satu pertiga daripada yang dianggarkan oleh hampir semua analisis bebas, saya harap kerajaan akan menyertakan tanda aras yang lebih realistik dalam Rancangan Malaysia ke-12," katanya.

Sebelum ini Alston dilaporkan menyuarakan kembimbangan tentang kemungkinan kerajaan PN akan mengabaikan janji pentadbiran sebelumnya untuk meningkatkn garis kemiskinan.

Garis kemiskinan yang lebih terkini sangat mustahak untuk mendapatkan gambaran kemiskinan yang tepat di negara ini agar pembuat dasar dapat memberi respons dengan sewajarnya.

Sebagai pelapor khas PBB, Alston tahun lalu menjalankan penyelidikan mengenai kadar kemiskinan di Malaysia dan menyimpulkan bahawa garis kemiskinan adalah tidak realistik.

Bagaimanapun, Azmin Ali yang menjadi menteri hal ehwal ekonomi pada masa itu berkata Malaysia tetap dengan pendiriannya berhubung kadar kemiskinan tegar, yang direkodkan pada kadar 0.4 peratus daripada keseluruhan isi rumah pada 2016 atau 24,700 isi rumah.

Namun, penasihat ekonomi kepada perdana menteri ketika itu, Muhammed Abdul Khalid berkata kerajaan harus menerima kenyataan bahawa kadar kemiskinan negara ini - iaitu RM980 sebulan untuk di Semenanjung Malaysia, RM1,180 untuk di Sabah manakala RM1,020 untuk Sarawak - sudah lapuk.