Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerana Latiff celupar, Umno sependapat tuntut Mersing

ULASAN | Ego kita sebagai manusia boleh melalaikan kita sehingga terkeluar kata-kata yang bertujuan untuk mempertahankan pilihan dan keputusan kita.

Bila akhirnya semacam kita sudah berjaya dengan memegang jawatan yang paling tinggi dalam kerjaya kita, ego kita juga yang membuatkan kita tidak dapat menahan diri dengan mengistiharkan kita terbukti betul dalam keputusan awal kita itu.

Begitulah keadaannya bagi Ahli Parlimen Mersing Dr Abdul Latiff Ahmad merangkap menteri luar bandar dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Tercakap perkara yang mungkin lama terbuku di hatinya. Melompat meninggalkan Umno untuk memperkuatkan Dr Mahathir Mohamad supaya boleh menahan Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri.

Akhirnya, meninggalkan Dr Mahathir dan PH untuk bersama Muhyiddin dalam sebuah kerajaan baru.

Sebagai orang yang bersama Hamzah Zainuddin memuktamadkan riwayat kerajaan PH, Abdul Latiff pun menjadi ahli jemaah menteri.

Gambar fail. Penulis, veteran Umno Shahrir Samad.

Setelah ditegur keras atas keceluparannya itu, Abdul Latiff minta maaf.

Tapi Abdul Latiff tidak berhenti mempertahankan dirinya sehingga merujuk kepada ayat terakhir Surah Al An'am.

Semuanya sudah pasti dengan kebenaran ayat Al Quran.

Tambahan pula Abdul Latiff turut mengistiharkan jumlah pencennya sebagai ahli exco kerajaan Johor dan juga sebagai timbalan menteri. Kedua-dua jawatan ini pula semasa dalam kerajaan BN.

Termaktub prinsip agih kerusi PRU15

Jadi tidak ada hal kalau dia tidak lagi bertanding di Mersing.

Hikmah daripada keceluparan Abdul Latiff ini membawa kepada kesatuan pendapat dari peringkat pemimpin tertinggi hingga ke akar umbi Umno bahawa Mersing ialah kerusi parlimen milik Umno

Tanpa disangka, satu prinsip telah termaktub. Iaitu, kerusi wakil rakyat Umno yang melompat keluar selepas PRU14 adalah milik Umno pada PRU15.

Alhamdulillah. Sebenarnya kehendak Allah SWT "meninggikan setengah kamu dari setengah yang lain beberapa darjat kerana Allah SWT hendak menguji kamu apa yang telah dikurniaNya kepada kamu..."

Ianya pemberian Allah SWT. Ia juga ujian Allah SWT.


SHAHRIR SAMAD ialah bekas menteri BN, mantan ahli parlimen Johor Bahru dan pemimpin veteran Umno.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.