Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

IGP jamin keselamatan wartawan, janji tegakkan kebebasan media

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini memberi jaminan keselamatan semua wartawan di negara dan berjanji akan menegakkan kebebasan media.

"Saya jamin media tempatan atau antarabangsa, keselamatan anda semua terjaga.

"Jika ada ugutan, mereka boleh tampil buat laporan polis dan kami pihak polis akan siasat itu," kata Abdul Hamid dalam satu sidang media di Bukit Aman.

Demikian katanya berikutan reaksi orang ramai terhadap media antarabangsa Al-Jazeera mengenai episod '101 East' yang menyorot cara kerajaan Malaysia mengendalikan pendatang asing tanpa izin di kawasan zon merah Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menjawab pertanyaan media mengenai status kakitangan Al Jazeera yang dipanggil ke Bukit Aman awal hari ini, Abdul Hamid menjelaskan bahawa ketujuh-tujuh mereka disoal siasat sebagai saksi dan bukan suspek.

"Kamu semua bebas untuk laporkan, tapi kita ada undang-undang. Undang-undang ini penting bagi mengawal kepelbagaian kaum dan agama.

Kakitangan Al Jazeera bersama peguam di Bukit Aman.

"Undang-undang tersebut pun tidak susah dipatuhi. Saya tak ada isu hal ini dan PDRM sentiasa mendokong kebebasan media ini," kata Hamid yang tidak hanya menjanjikan komitmen peribadinya, tetapi juga bagi pihak sepuluh pengarah jabatan dan kakitangannya.

"Insyallah, saya akan sokong kebebasan media yang bertanggungjawab," katanya.

Mengulas lanjut, Hamid berkata terdapat elemen yang dibangkitkan dalam dokumentari berdurasi 25 minit itu telah menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

Saksi bukan suspek

"Apa yang berlaku ialah laporan itu, saya tak boleh kata orang ramai di Malaysia ini gila.

"Kita siasat, kita dapati ada fakta tidak tepat. Terdapat kecenderungan menggambarkan negara kita buruk," katanya.

Hamid berkata keputusan untuk mengambil keterangan daripada staf Al Jazeera hari ini dibuat selepas pertimbangan teliti dengan Pejabat Peguam Negara bahawa terdapat kemungkinan elemen di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunkasi dan Multimedia 1988.

"Kita telah diarah jalankan siasatan. Jadi, kita panggil mereka. Mereka datang sebagai saksi bukan suspek.

"Mereka jawab beberapa soalan. Kita lengkapkan ke atas siasatan dan hantar ke Pejabat Peguam Negara," katanya sambil menjelaskan bahawa siasatan kes akan disiapkan secepat mungkin.

[Baca berita penuh]