3 menteri umum keluar parti, kemungkinan rombakan kabinet Thailand
GLOBAL | Tiga menteri kabinet Thailand hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Parti Cross Pracharath (PPRP), parti terbesar dalam pakatan pemerintah - sekaligus membayangkan kemungkinan berlakunya rombakan kabinet.
Mereka ialah menteri kewangan merangkap bekas pemimpin PPRP Uttama Savanayana, menteri tenaga Sontirat Sontijirawong (bekas setiausaha agung) dan menteri pendidikan tinggi, sains dan inovasi Suvit Maesincee (timbalan ketua parti).
Pengumuman itu menyusul selepas berlaku perubahan pucuk pimpinan parti bulan lalu, menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan menggantikan Uttama sebagai ketua baru parti itu dan Anucha Nakasai mengambil alih jawatan sebagai setiausaha agung.
Selain itu, timbalan setiausaha agung hal ehwal politik kepada perdana menteri, Kobsak Pootrakool turut umum berundur daripada parti berkenaan.
Uttama berkata mereka akan tetap berada dalam kabinet dan terus menjalankan tugas sehingga rombakan dibuat.
Kami berempat akan terus menyokong Perdana Menteri, Jenderal Prayuth Chan o-cha (gambar, bawah), katanya.
"Banyak yang telah kami lakukan sejak dua tahun kebelakangan ini. Misi kami selesai. Parti (PPRP) sudah mempunyai pemimpin dan anggota baharu untuk menerajui parti.
"Kami rasa sudah tiba masanya untuk tamatkan peranan kami sebagai ahli politik PPRP. Kami akan terus berkhidmat (di kabinet) kerana kami bekerja untuk negara dan rakyat, terutamanya dalam menangani wabak Covid-19," katanya pada sidang media di Bangkok hari ini.
Uttama menafikan mereka akan menubuhkan parti politik baru.
"Kami belum fikir tentang masa depan politik kami ... rombakan kabinet, itu adalah hak perdana menteri," katanya.
Sementara itu, Sonthirat berkata mereka akan terus bekerja di bawah pentadbiran Prayuth.
"Kami bangga menjadi sebahagian daripada PPRP...Pengunduran kami tidak bermaksud hubungan akan turut terputus. Hubungan tetap baik dan kami akan terus menyokong parti," katanya.
Perdana Menteri Prayuth - memetik Bangkok Post pada Rabu - berkata beliau "akan mencari orang terbaik dan kita harus memberi mereka peluang untuk berkhidmat. Jika semuanya berjalan lancar, mungkin kita akan ada satu (rombakan kabinet). "
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai