Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ECRL: Kenapa pilih kos asal jauh lebih tinggi, soal Anwar

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan rasional untuk mengembalikan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke jajaran asal.

Anwar turut mempersoalkan kewajaran kerajaan memilih jajaran yang memakan kos lebih tinggi berbanding jajaran yang dicadangkan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan.

“Dengan mengabaikan proses rundingan dan mengembalikan semula kepada kos asal bagi saya ia adalah (tindakan) yang tidak bertanggungjawab.

“Kamu (PN) harus jelaskan kepada Parlimen dan kepada orang ramai (mengenai cadangan ini),” katanya kepada pemberita di Port Dickson, apabila diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk mengembalikan jajaran asal ECRL.

Pada 5 Julai, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini berkata cadangan untuk mengembalikan projek ECRL balik ke jajaran asal datang dari Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke mendakwa bahawa cadangan untuk mengembalikan semula jajaran asal projek ECRL yang dicadangkan ketika di bawah pentadbiran BN adalah bertujuan mengecualikan Negeri Sembilan.

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson turut mempersoalkan sama ada cadangan PN itu mempunyai kepentingan kepada mana-mana pihak tertentu.

“Maka sebab itu jajaran (baru) itu masuk sampai ke Negeri Sembilan dan Negeri Sembilan penting sebab ia juga beri ruang kepada Port Dickson, Melaka dan juga kemungkinan meningkatkan mutu hidup dan pembangunan negeri dan negara.

“Yang saya rasa aneh ialah setelah rundingan itu dibuat, kemudian kembalikan kepada projek asal,” katanya.

Bagaimanapun, menurut presiden PKR itu, beliau setuju jika rundingan semula untuk jajaran baru dibuat untuk mengurangkan kos, tetapi bukan sebaliknya.

“Saya tak faham mengapa kerajaan sekarang memilih untuk kepada kos asal yang jauh lebih tinggi. Apa kepentingan? Siapa wakil? Siapa yang kutip komisen? Siapa yang ada kepentingan perdagangan di situ?

“Perundingan harus diadakan untuk pertama, mengurangkan kos sebanyak mungkin, kedua, memberi manfaat seramai mungkin,” katanya.

Berdasarkan jajaran asal yang dicadangkan ketika kerajaan persekutuan ditadbir BN, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak dan menuju ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah mengubah jajaran itu agar tidak melalui Bentong dan Gombak seperti yang direncanakan pada awalnya.

Loke sebelum ini berkata bahawa pertimbangan jajaran baru yang dicadangkan PH dapat menjimatkan kos sebanyak RM21.5 bilion.