Sambutan 3 bulan Jubli Emas Rukun Negara bermula hari ini
Sambutan Jubli Emas Rukun Negara selama tiga bulan akan dilancarkan hari ini, sebagai usaha kerajaan meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia ketika menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar, ditambah lagi dengan pandemik COVID-19, perpaduan dan bersatu padu memainkan peranan penting dalam menangani cabaran tersebut, kerana Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkesan, akibat penularan tersebut.
Telah terbukti rakyat Malaysia dari segenap golongan masyarakat telah bersatu padu dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan meratakan lengkungan jangkitan virus itu apabila tiada kes jangkitan baru tempatan dilaporkan semalam.
Sambutan jubli emas itu akan bermula dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan melancarkan sambutan Ulang Tahun Rukun Negara ke-50 bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Dalam suasana kebiasaan baharu susulan pandemik COVID-19, sambutan jubli emas Rukun Negara pada tahun ini, tetap istimewa dalam usaha menyemarakkan semangat cintakan falsafah negara itu, sebagai tunjang perpaduan dan keharmonian nasional.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini yang mengehadkan hanya 250 orang dalam sesuatu acara, bukan halangan untuk orang ramai turut serta menyaksikan sambutan majlis penting itu yang akan disiarkan secara langsung di Bernama TV (Astro 502, myFreeview 121 dan unifi TV 631), RTM, Astro Awani serta platform media sosial.
Perdana Menteri dijadual menyampaikan amanat pada pukul 3 petang, yang dilihat penting dalam mendepani cabaran semasa hari ini, bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini terus terpelihara, bersesuaian dengan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.
Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, susulan peristiwa 13 Mei 1969, bagi mencapai perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan kepercayaan.
Selepas menyampaikan ucapan, Perdana Menteri dijangka melafazkan ikrar Rukun Negara bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, beserta enam pelajar sekolah yang mewakili ahli kelab Rukun Negara.
Selepas itu, Muhyiddin akan melancarkan logo rasmi sambutan jubli emas Rukun Negara itu yang julung kali dicipta, hasil kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Jabatan Penerangan dan Kumpulan Media Karangkraf.
Turut menarik, Perdana Menteri juga akan melancarkan setem khas bertemakan ‘Lima Puluh Tahun’, dengan lima reka bentuk setem yang menampilkan setiap prinsip Rukun Negara, logo sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Bunga Raya.
Kesemua setem khas itu akan dijual oleh Pos Malaysia bermula Ogos depan.
Perdana Menteri kemudian akan melawat galeri pameran bertema Rukun Negara, yang memaparkan bahan-bahan dan gambar bersejarah penggubalan Rukun Negara.
Memeriahkan lagi acara, lagu Rukun Negara yang digubah Datuk Mokzani Ismail, akan dinyanyikan oleh penyanyi terkenal kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah bersama Roy.
Datuk Syafinaz Selamat bersama dua lagi penyanyi yang sedang meningkat naik, Afieq dan Wani pula akan menyampaikan lagu Lima Prinsip Rukun Negara hasil ciptaan Datuk Wah Idris.
Program yang dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara itu, turut mengatur pelbagai program bermula 9 Julai hingga Hari Malaysia pada 16 Sept.
Antara program yang dirancang adalah Insta Challenge, Rukun Negara Hour, Webinar, e-Treasure Hunt, Pengisahan Negara, Ted Talk Kenegaraan, Bual Bicara Bersiri, Dokumentari dan Bicycleton.
-- BERNAMA
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai