Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keperluan mengurangkan pelepasan karbon

ULASAN | Oleh kerana proses pemulihan Covid-19 sedang berjalan dengan baik di beberapa buah negara, dijangkakan terdapat kenaikan pelepasan karbon di seluruh dunia yang akan mempengaruhi alam sekitar, kesihatan dan ekonomi.

Tambahan pula, semasa dunia sekarang sedang giat menuju ke arah teknologi canggih, pemanasan global menjadi semakin jelas pada hari ini dan semua pihak harus menangani masalah ini dengan baik.

Walaupun keadaan persekitaran kita telah menjadi lebih baik semasa penutupan dan sekatan di dalam negara untuk memerangi virus, namun isu ini tidak boleh dilupakan sama sekali.

Juga, sesetengah negara sedang berhadapan dengan realiti ini dan sedang mencari strategi yang terbaik dan paling berkesan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Sekiranya kita melihat kembali keadaan sebelum bermulanya pandemik Covid-19, dapat dilihat bahawa udara di sekitar kita sangat berbahaya untuk pernafasan, planet menghadapi kenaikan suhu, pencairan glasier dan kenaikan paras air laut, serta kemerosotan alam sekitar berlaku dengan begitu pantas.

Tetapi terdapat laporan bahawa semasa permulaan penutupan dan penyekatan nasional, terdapat perubahan kecil terhadap alam sekitar seperti terjadinya penurunan pelepasan oksida nitrat dan air jernih di Venice.

Ia pasti satu berita yang mengembirakan sekiranya keadaan ini dapat dikekalkan, namun sayangnya ia hanya sementara kerana segala "ancaman" terhadap bumi kita perlu diteruskan demi kelangsungan ekonomi global. Namun, impak tersebut dapat dikurangkan oleh pihak berkuasa berkaitan melalui polisi yang berkesan dan pelaksanaan dasar yang ketat.

Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan untuk Perubahan Iklim (IPCC) kelima, pelepasan karbon global dianggarkan sekitar 36 bilion tan setahun dan diunjurkan akan meningkat secara beransur-ansur di semua negara, selepas pengakhiran pandemik.

Statistik terkini menunjukkan bahawa China dianggap sebagai penyebar karbon dioksida (CO2) yang terbesar di dunia, menyumbang lebih daripada satu perempat pelepasan diikuti oleh 15 peratus, 10 peratus, tujuh peratus dan lima peratus masing-masing dari Amerika Syarikat, Eropah, India dan Rusia.

Berdasarkan laporan dari Climate Analytics, Asia Tenggara adalah antara wilayah yang paling mudah terdedah di dunia, dengan pertambahan populasi yang besar memberi pendedahan kepada risiko iklim yang sangat tinggi dan melampau kerana pertumbuhan pelepasan karbon yang pesat.

Terdapat juga pelbagai polisi yang diguna pakai oleh rantau ini untuk mempromosikan tahap pelepasan yang tinggi dan ketidakcekapan teknikal, seperti subsidi menyeluruh untuk bahan api fosil.

Oleh itu, tindakan sewajarnya haruslah diambil sekarang untuk mengurangkan pelepasan karbon ini, merangkumi semua negara di dunia tanpa ada pengecualian, dan kerjasama yang kuat antara negara diperlukan untuk memimpin jalan dalam kedudukan iklim global dengan mencadangkan sasaran pengurangan pelepasan karbon bagi menghindari risiko ekonomi jangka panjang.

Asia Tenggara perlu menyahkarbonkan sistem tenaganya pada tahun 2050, dengan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan penyahkarbonan sektor penggunaan akhir melalui elektrifikasi atau penggunaan tenaga boleh diperbaharui secara langsung, serta pengurangan permintaan yang besar di seluruh sektor penggunaan akhir.

Tambahan pula, peralihan ke arah sistem ekonomi rendah karbon adalah digalakkan kerana ia akan menyediakan asas untuk sumber yang lebih cekap, kurang intensif karbon, keselamatan tenaga dan makanan, kelestarian alam sekitar, jalan pertumbuhan yang seimbang, dengan faedah yang berkaitan untuk kelangsungan ekosistem dan kesihatan manusia.

Sekiranya Malaysia, Indonesia dan Thailand melaksanakan sasaran yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris 2015 untuk Sumbangan Nasional yang Ditentukan (INDC), maka mereka akan mengalami pengurangan pelepasan karbon yang ketara selepas 2030.

Pakar-pakar juga mengatakan Malaysia dijangka menghadapi kos kerosakan marginal yang lebih rendah manakala Indonesia dan Thailand dijangka menghadapi kos kerosakan marginal yang lebih tinggi untuk 2010-2050.

Apakah itu INDC?

World Resources Institute mendefinisikan INDC sebagai perjanjian antarabangsa baru berdasarkan perjanjian iklim antarabangsa pada Persidangan Kerangka Konvensyen Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada bulan Disember 2015.

Perjanjian Paris mempunyai tiga teras utama iaitu untuk mengekalkan kenaikan suhu purata global di bawah 2°C, mengambil langkah-langkah dalam menyekat kenaikan suhu sehingga 1.5°C dan mencapai pelepasan bersih-sifar karbon pada separuh akhir abad ini.

Selain itu, strategi pengurangan pelepasan karbon juga seiring dengan teras Matlamat Pembangunan Lestari yang ke-13 dimana ia bertujuan untuk mengambil tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesan-kesannya.

Di Malaysia, percubaan rendah karbon yang dilakukan oleh beberapa buah bandar di Malaysia harus dipertingkatkan dan terus kembali ke landasan yang betul setelah ekonomi domestik dipulihkan semasa pasca Covid-19 untuk mengurangkan kesan kerosakan yang seakan-akan "tidak kelihatan" di bumi kita ini.

Bagaimanakah usaha itu boleh dicapai?

Kerangka dasar yang berkesan untuk mengurangkan peningkatan pelepasan karbon ini adalah sangat penting untuk menangani ancaman jangka panjang yang timbul akibat perubahan iklim, dan ia harus merangkumi “pemancar utama” atau major emitters yang berkesan sambil membataskan pelepasan karbon secara global ke tahap yang sesuai dengan penstabilan iklim.

Seterusnya, pemacu kepada peningkatan pelepasan dan lintasan pelepasan karbon yang berkaitan perlu dijelaskan, pilihan teknikal harus dikenal pasti untuk pertumbuhan pengurangan pelepasan karbon dan penyelidikan haruslah diberi pilihan untuk mengenal pasti kesan terhadap ekonomi dan pelepasan karbon.

Inilah sebabnya mengapa laporan Climate Analytics mencadangkan model ekonomi-tenaga-alam sekitar global untuk menilai mekanisme dasar untuk mempromosikan penambahbaikan dalam sistem ekonomi, membolehkan industri tertentu menerima pakai sumber dan aktiviti pelepasan karbon rendah, dan juga untuk mengurangkan kos ekonomi dasar dekarbonisasi.

Kombinasi model juga berguna untuk menyelidik pelbagai aspek potensi dan kos dekarbonisasi dan mengenal pasti dasar-dasar yang sesuai untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Bagi Malaysia, matlamat 2020 adalah untuk mencapai 40 peratus CO2eq bagi setiap unit Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada paras 2005, dan jika kita melihat senario perniagaan seperti pertumbuhan pelepasan karbon sehingga 2020, sasaran tersebut tidak menunjukkan pengurangan yang ketara dalam proses pelepasan karbon.

Oleh itu, permintaan segera diperlukan untuk strategi pengurangan pelepasan karbon dan dasar pengurangan yang berkesan di negara kita dan juga di negara-negara lain.


FARHAN KAMARULZAMAN merupakan Pembantu Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.