Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Latiff Ahmad mohon maaf kata ‘Umno tak laku’

Selepas menerima bidasan demi bidasan dari pemimpin Umno, akhirnya, anggota parlimen Mersing Dr Abdul Latiff Ahmad mengakui kesilapannya.

Sambil mengingatkan Umno, musuh sebenar adalah pihak lawan dan mereka tidak sepatutnya bercakaran sesama sendiri, katanya beliau memohon maaf sekiranya kenyataan berhubung "Umno tidak laku di Sabah" telah disalah anggap dan menyakiti hati banyak pihak.

"Kenyataan itu adalah kenyataan peribadi bukan mewakili parti.

"Saya dengan rendah diri Ingin memohon maaf sekiranya kenyataan saya itu menyinggung perasaan sesetengah pihak.

“Musuh sebenar adalah pihak lawan, Jangan biarkan kita bercakaran," katanya seperti lapor Pnbbcportal.

Sebelum itu, Abdul Latiff yang juga pemimpin Bersatu membuat kenyataan dalam sebuah forum terbuka yang kemudian menjadi tular di media sosial.

“Orang Sabah dia tak panggil lompat, dia panggil hijrah. Biasa dari Berjaya ke PBS, PBS pergi Umno.

“Sekarang ini Umno sudah tak lakulah. Umno, maksud saya parti Umno di Sabah. Itu realitinya kerana (orang) tak yakin. Semua yang lompat juga sudah hijrah ke Bersatu,” kata menteri berkenaan.

Untuk rekod, Abdul Latiff yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar adalah antara beberapa bekas ahli parlimen Umno yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

Dalam pada itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi secara sinis berkata, jika parti itu tidak laku di Sabah mana mungkin Salleh Said Keruak memohon untuk kembali menyertai Umno.

"Mujur Dr Latif tidak dibaling dengan batu dan telur busuk walaupun mengata Umno sebagai sarkas dan tidak laku di Sabah.

"Kalau tidak laku, macam mana Salleh mohon masuk balik Umno? Sedarkah Latif, di Mersing PPBM (Bersatu) hanya ada lima cawangan," katanya.

Sindir Mohd Puad lagi, apakah dengan lima cawangan di Mersing itu membuktikan Bersatu diterima rakyat.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid mencabar Abdul Latiff mengosongkan kerusi yang dimenanginya atas tiket Umno di Mersing jika berasakan Umno sudah tidak laku lagi.

"Saya mencabar beliau supaya melepaskan kerusi Parlimen Mersing yang dimenanginya atas tiket Umno sebelum.

"Di situ baru beliau sedar bahawa Umno itu masih laku ataupun tidak. Jika tidak kerana Umno berinya bertanding di situ, beliau tidak akan dapat jadi menteri.

"Menang pun disebabkan jentera Umno, ada hati mencemuh Umno," katanya lagi.